Home Nasional Pekerja maut kepala tersepit mesin pengisar

Pekerja maut kepala tersepit mesin pengisar

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap melakukan kerja-kerja menyelamat Tan Hong Seng di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang. foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Seorang pekerja kilang kertas di Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini maut selepas kepalanya tersepit dalam mesin pengisar dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, mangsa, Tan Hong Seng, 52, sedang membaiki mesin berkenaan bersama rakannya.

Bagaimanapun, tambahnya, mesin itu secara tiba-tiba berfungsi ketika mangsa membuka penutup mesin berkenaan sekali gus menyebabkan kepala mangsa tersepit.

Tambah beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap dengan dibantu pasukan jurutera teknikal kilang berkenaan.

Ujarnya, mangsa berjaya dikeluarkan selepas lebih sejam usaha menyelamat dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

“Bedah siasat yang dijalankan menunjukkan mangsa maut akibat  kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – MalaysiaGazette