Home Seni Hidup Belum bertaraf jutawan – Fazley

Belum bertaraf jutawan – Fazley

Datuk Fazley Yaakob kini menjadi duta kepada lapan produk.

KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob antara artis yang boleh dianggap paling laris dan menjadi pilihan syarikat untuk menjadi duta produk mereka.

Sejak namanya dijenamakan semula selepas menjuarai program MasterChef Selebriti Malaysia yang pertama pada 2012, deretan tawaran datang bergolek kepadanya hingga tidak menang tangan memilih projek terbaik.

Ketika ini, penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini menjadi duta untuk produk seperti Mahsuri, F&N Kings, Mazola, San Remo, Panasonic Cooking, Jaya Grocer, Thermos dan Street Churros.

Fazley mengadakan program Coconut Shake Hunt F&N Kings 2018 di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Menjalani rentak karier yang berjalan lancar dan selama ini, lelaki berusia 39 tahun itu mengakui, segalanya berlaku atas nama rezeki dan kesan daripada kesabarannya.

Apa tidaknya, bapa kepada empat anak ini perlu berkorban waktu untuk meluangkan waktu bersama keluarga tersayang.

“Cabaran utama menjadi duta untuk banyak produk apabila menjelajah dan melakukan tugasan terutama melibatkan pembahagian resepi antara produk lain yang tidak boleh sama.

“Sebab itu kadang-kadang saya hilang waktu bekerja kerana perlu memikirkan idea-idea baru untuk resepi.

“Saya sebenarnya bersyukur kerana dapat menghasilkan idea pelik spontan walaupun dalam waktu singkat diperlukan seperti asam pedas coklat putih,” katanya.

Beliau ditemui media ketika program Coconut Shake Hunt F&N Kings 2018 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Diusik soalan sama ada beliau sudah bergelar jutawan ketika ini, pemilik jenama SukaSucre ini hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Belum lagi tapi kalau di Indonesia mungkin ya. Dunia hari ini perlu wang dan saya adalah ketua keluarga.

“Jadi setiap pendapatan yang diperolehi, saya kena agihkan kerana keluarga saya besar. Saya juga perlu fokus dalam perniagaan SukaSucre kerana ingin mewariskan kepada anak-anak nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazley memberitahu, beliau bakal merakamkan single baharu dalam bahasa Mandarin sebelum ketibaan perayaan Tahun Baru Cina.

Video muzik bagi lagu berjudul Cinta Seluas Lautan dalam bahasa Melayu itu pula bakal menjalani penggambaran di Taiwan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette