KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) menyemak semula kadar asas (BR) kepada 3.25 peratus setahun dan kadar pinjaman asas (BLR) kepada 6.90 peratus setahun berkuatkuasa hari ini.
Semakan itu selari dengan kenaikan dasar asas semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia. Ia merupakan kenaikan pertama sejak 10 Julai 2014.
Tambahnya, kadar deposit tetap dinaikkan antara 20 mata asas hingga 25 mata asas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Maybank akan terus menyokong para pelanggannya untuk memastikan peminjam tidak terjejas dengan ketara dan pendeposit pula menerima pulangan yang sesuai untuk deposit mereka.
“Pelanggan kami juga boleh yakin bahawa bank akan terus menguruskan aset dan liabiliti kami dengan cekap untuk memastikan kadar faedah kami dihargai secara bertanggungjawab pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette