ISLAMABAD – Seorang pendaki Perancis yang terkandas di salah satu gunung maut Himalaya berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamat yang cukup dramatik.
Tetapi pencarian untuk mengesan rakan pendaki Elisabeth Revol dihentikan.
Revol dan Tomasz Mackiewicz terkandas di Nanga Parbat, yang dikenali sebagai Gunung Maut ketika berada pada ketinggian 7,400 meter (24,280 kaki) pada hari Jumaat lalu.
Pasukan pendaki elit Poland di K2 yang berada di lokasi berdekatan menyelamatkan Revol.
“Elisabeth berada di hospital di Islamabad, mengalami radang dingin di tangan dan kakinya,” kata Ludovic Giambiasi, rakan Revol.
Empat anggota pasukan Poland, yang telah cuba menaiki pendakian musim sejuk pertama K2 – gunung tertinggi kedua di dunia – dibawa ke Nanga Parbat oleh sebuah helikopter tentera Pakistan.
Mereka diturunkan lebih daripada 1,000 meter di lokasi terakhir Revol dan rakannya.
Denis Urubko dan Adam Bielecki kemudian memulakan pendakian dalam keadaan gelap sementara Jaroslaw Botor dan Piotr Tomala membina kem.
Setelah sampai ke tempat Revol, pasukan itu kembali ke kem – perjalanan selama lima setengah jam.
Pada awal Ahad, Facebook pasukan pendakian mengumumkan: “Elisabeth Revol dijumpai!”
Revol dibawa ke hospital dengan menaiki helikopter.
Bagaimanapun, Macjuewucz yang terpisah dengan Revol dilaporkan mengalami radang sejuk dan buta salji terpaksa ditinggalkan begitu sahaja.
Giambiasi berkata, keadaan cuaca dan ketinggian menyebabkan pasukan penyelamat dalam keadaan yang sangat bahaya.
“Ia merupakan keputusan yang menyakitkan dan kami cukup sedih,” katanya.
Dengan ketinggian 8,126 meter, Nanga Parbat yang terletak di utara Pakistan adalah gunung kesembilan tertinggi di dunia. – MalaysiaGazette