Home Nasional Usaha ‘boikot’ Thaipusam di Batu Caves gagal

Usaha ‘boikot’ Thaipusam di Batu Caves gagal

Walaupun menerima pelbagai kritikan dan ancaman segelintir pihak, namun masyarakat Hindu masih meneruskan tradisi untuk terus melakukan upcara mengambil 'Paal Koodam' dan Kavadi seperti tahun-tahun berikutnya.

KUALA LUMPUR – Usaha segelintir pihak memboikot sambutan Thaipusam di Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada tahun ini nampaknya tidak berjaya.

Ini kerana puluhan ribu penganut sudah mula membayar nazar kuil berkenaan sejak minggu lepas.

Tinjauan Malaysia Gazette semalam mendapati, hampir 40,000 penganut termasuk pengunjung dalam dan luar negara membanjiri kawasan kuil bagi pelbaga aktiviti termasuk untuk upacara sembahyang dan juga melihat keunikan rumah ibadat itu yang memiliki patung Dewa Muruga tertinggi di dunia.

Kuil Sri Subramniyar tidak kurang meriah apbila pelbagai penganut yang telah melakukan nazar memberikan sumbangan makanan percuma kepada pengunjung dan penganut.

Para penganut yang telah bernazar juga dilihat sudah mula membawa belanga susu ‘paal koodam’ dan kavadi selain daripada upacara membotakkan rambut dan aktiviti lain, antaranya sumbangan makanan percuma yang diberikan kepada orang ramai oleh orang persendirian dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kedai-kedai makanan, manisan, pakaian, cenderamata dan lain-lain juga sudah mula dibuka dan pengunjung mula berpusu-pusu untuk mendapatkan keperluan mereka.

Walaupun menerima pelbagai kritikan dan ancaman segelintir pihak, namun masyarakat Hindu masih meneruskan tradisi untuk terus melakukan upcara mengambil ‘Paal Koodam’ dan Kavadi seperti tahun-tahun berikutnya.

Menurut Pemegang Amanah dan Jawatankuasa Kerja Sri Subramaniyar, Datuk  Sivakumar Nadarajah (gambar bawah), pihaknya kuil tidak sesekali gentar atau bimbang dengan pelbagai ugutan serta kritikan yang dilemparkan kepada pengurusan kuil yang diterajui Tan Sri R Nadarajah kerana masyarakat Hindu percaya dengan ‘kuasa’ serta keistimewaan kuil tersebut.

“Hanya mereka yang mempuyai agenda peribadi akan bertindak untuk menyebarkan berita tidak benar. Pada kami, ‘kuasa’ Dewa Muruga itu jauh lebih berkuasa. Masyarakat kita akan dapat menilai baik dan buruk.

“Janganlah cuba masuk politik dan agenda peribadi untuk kepentingan anda. Ini adalah kuil, kami membuat keputusan untuk terus membuka kuil ketika waktu gerhana bulan selepas mendapat restu dan nasihat pada pakar bukan sahaja dalam negara tetapi di luar,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sebelum ini, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk RS Mohan Shan menyeru kepada semua kuil Hindu mesti ditutup daripada upacara sembahyang sepanjang tempoh berlakunya gerhana bulan pada Hari Thaipusam 31 Januari ini.

Jelas Mohan Shan, gerhana bulan mempunyai tenaga negatif yang akan meninggalkan kesan negatif dan selalunya disebabkan perkara ini ini, masyarakat Hindu dilarang daripada melakukan apa jua bentuk sembahyang dan ritual dalam tempoh ini malah telah diamalkan sejak beratus-ratus tahun yang lalu

Bagaimanapun, Nadarajah sebelum ini berkata, upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves pada Hari Thaipusam akan diteruskan meskipun semasa tempoh berlaku gerhana yang menimbulkan kontroversi dan perdebatan pelbagai pihak.

Tidak cukup dengan itu, ada juga segelintir individu cuba melakukan kempen untuk memboikot para penganut dan pengunjung untuk tidak mengunjungi kuil tersebut ketika sambutan Thaipusam berikutan keengganan Nadarajah menutup Sri Subramaniyar Alayam ketika gerhana.

Dalam pada itu, pedati emas Dewan Vinayagar bernilai RM5 juta yang akan menyertai perarakan buat kali pertama akan turut menjadi tarikan pada sambutan Thaipusam kali ini.

Pendati perak yang membawa Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai akan menyertai pendati emas bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini, pada jam 10 malam ini dan dijangka tiba di di kuil Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.

Perarakan pulang dari Batu Caves hanya melibatkan pedati perak sahaja pada 1 Februari dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan perarakan itu dijangka disertai seramai 200,000 penganut Hindu.

Nadarajah sebelum ini turut menjangka sekurang-kurangnya 1.5 juta juta penganut Hindu dan pelancong asing dijangka membanjiri Batu Caves pada sambutan Thaipusam tahun ini.

Thaipusam yang diraikan pada 31 Januari ini merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.- MalaysiaGazette

Kuil Hindu tak boleh dibuka ketika fenomena gerhana – MHS