Home Ekonomi Bekalan mata wang mencukupi – BNM

Bekalan mata wang mencukupi – BNM

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan bahawa bekalan keseluruhan mata wang mencukupi.

Menurutnya, pengguna boleh terus mendapatkan dan menukar mata wang asing dengan pengurup wang berlesen yang terdapat di seluruh negara.

BNM membuat kenyataan itu susulan kes kecurian mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM8.3 juta milik sebuah syarikat pemborong mata wang pada Jumaat lalu.

Pengurup wang dan pemborong mata wang yang terjejas telah membuat laporan polis dan kes ini kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia.

BNM pula secara berasingan sedang membuat pemeriksaan secara bebas berhubung dengan insiden tersebut untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran peraturan oleh pengurup wang dan pemborong mata wang yang terlibat.

Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil oleh BNM jika terdapat pelanggaran peraturan.

Tambahnya, BNM terus memantau dengan rapi keberkesanan kawalan dan langkah pengurangan risiko yang dilaksanakan oleh perniagaan perkhidmatan wang berlesen bagi memastikan penyediaan perkhidmatan penukaran mata wang yang cekap dan boleh dipercayai.

Banyak syarikat perkhidmatan wang kini memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kawalan, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kebergantungan pada mata wang fizikal dalam pengendalian dan operasi penukaran mata wang secara keseluruhan.

Perkembangan ini akan meminimumkan lagi risiko gangguan kepada perkhidmatan penukaran mata wang, katanya. – MalaysiaGazette