Home Politik Golongan muda jangan hanyut dengan kempen undi rosak

Golongan muda jangan hanyut dengan kempen undi rosak

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar bercakap pada sidang media sempena Hari Gerakan Belia 4B dan Karnival Sukan Muhibab 4B di Mutiara Damansara, Selangor. foto AQIRA AZEMI, 30 JANUARI 2018

PETALING JAYA – Golongan muda tidak sepatutnya lari daripada tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) Mohd Nizam Omar.

Katanya, golongan itu perlu membuat pilihan pentadbir menerusi proses demokrasi seperti mana yang sering dituntut oleh generasi itu sebelum ini.

“Kita perlu memberi sokongan kepada sistem demokrasi dan memilih kerajaan. Belia perlu keluar mengundi dan memastikan undi jangan rosak jangan terpengaruh,” katanya kepada pemberita ketika sidang media sebentar tadi.

Beliau dalam masa yang sama memberi jaminan bahawa semua ahli gerakan itu tidak akan menyokong kempen yang disifatkan Mohd Nizam sebagai membuang masa.

Baru-baru ini kempen boikot PRU14 dan undi rosak menjadi tular di media sosial.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa ia didalangi oleh penyokong Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan parti itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan (GB4B), Fahami Ahrof Badaruddin berkata, generasi muda sepatutnya menunaikan tanggungjawab ini sebagai simbolik keyakinan kepada kerajaan sedia ada.

Beliau turut menyifatkan tindakan menguar-uarkan kempen undi rosak sebagai jijik apabila cuba menafikan hak rakyat.

“Sebenarnya tanggungjawab besar untuk memilih kerajaan jadi orang yang menjalankan kempen ini tidak bertanggungjawab kerana mahu mempengaruhi undi dalam negara menjadi kucar-kucar.

“Kempen ini amat menjijikkan sebagai belia yang layak mengundi keluar dan mengundilah, pilih kepimpinan yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette