KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin usaha kerajaan menempatkan hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh berpotensi mewujudkan ‘perkampungan global’ dalam membela kebajikan pelarian etnik Rohingya yang kini ditempatkan sementara di negara itu.
Beliau berkata, kerjasama Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memperjuangkan nasib Rohingya berjaya menarik minat negara-negara dunia ketiga untuk berganding bahu mempergiatkan lagi kerjasama serantau.
“Misi bantuan Rohingya yang kita sedang laksanakan ketika ini mendapat sambutan luar biasa daripada negara lain kerana hala tuju murni kita sangat jelas dan ikhlas.
“Sebelum ini kita telah mewujudkan hubungan triliteral dalam menangani ancaman keselamatan terutama sekali melibatkan keganasan anggota Daesh.
“Namun dengan bantuan yang dihulurkan secara bersama untuk masyarakat Rohingya ini, hubungan kerjasama triliteral bersama negara lain dapat terus diperkukuhkan lagi ke arah mencapai misi secara bersama,” kata beliau dalam sidang media di ibu negara.
Terdahulu beliau melawat tapak projek pembangunan Kompleks Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia dan memantau proses pembinaan kompleks bernilai RM30 juta itu yang dijangka siap menjelang Oktober 2019 di Jalan Padang Tembak, Kementerian Pertahanan di sini.
Katanya, kompleks itu merangkumi sebuah blok kediaman 10 tingkat yang mempunyai 200 unit bilik serta 115 tempat letak kereta berbumbung dan berpuas hati dengan perkembangannya yang kini 28 peratus siap iaitu lapan hari lebih awal daripada yang ditetapkan.
“Selain itu wisma ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur tambahan seperti dewan makan, dewan bankuet dan gelanggang sukan.
“Sekiranya semua pihak mampu mengekalkan mementum dan prestasi kerja, projek ini mampu disiapkan sepenuhnya pada 3 Oktober tahun hadapan,” katanya.
Majlis Pecah Tanah projek Wisma Bintara ATM di tapak berkenaan telah disempurnakan beliau sendiri pada 27 September 2016.
Malah jelasnya, ketika ini Wisma Bintara ATM ditempatkan sementara di Rumah Keluarga Angkatan Tentera Kem Pasifik di Jalan Ampang.
Menurut beliau, pembinaan Kompleks Wisma Bintara ATM itu merupakan keperluan utama kementerian serta para anggota yang sudah lama menantikannya.
“Hal ini kerana insfrastrukturnya lebih lengkap serta bersesuaian dengan anggota Bintara ATM melakukan aktiviti yang bersifat rejimental dan ketenteraan,” katanya. – MalaysiaGazette