Home Nasional Tiga maut dalam kemalangan di Bintulu

Tiga maut dalam kemalangan di Bintulu

BINTULU – Tiga maut termasuk dua beranak apabila sebuah bas sekolah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata dalam insiden pada jam 6.12 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu bas Ramnelan Samar serta anak perempuannya Nur Nabila Syakila, 9, dan seorang lagi penumpang bas berkenaan Aien Laila Aliesha, 11, yang meninggal di Hospital Bintulu.

“Enam murid sekolah mengalami kecederaan, 14 murid selamat dan pemandu lori yang membawa muatan besi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian berlaku bas sekolah berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Samalaju ke bandar Bintulu dan melanggar belakang lori yang terletak di tepi jalan.

Menurutnya lagi, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai berlaku kerana kecuaian pemandu lori tersebut yang meletakkan lori di tepi jalan sehingga menghalang laluan. – Bernama