Home Politik Era Najib lebih baik berbanding Tun M

Era Najib lebih baik berbanding Tun M

Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan mengakui pemerintahan Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding di era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perbandingan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah apabila menyatakan hubungan antara kerajaan negeri itu dengan Pusat semakin baik walaupun ada perkara masih belum tertunai.

“Memang berbeza kalau mahu dibandingkan zaman Tun Mahathir dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Zaman Tun Abdullah dan Najib menjadikan hubungan Kelantan dengan Pusat lebih baik.

“Namun, banyak perkara lagi yang Kerajaan Pusat belum laksanakan seperti tuntutan royalti dan kita berharap ia dipertimbangkan.

“Walaupun masih agak terpinggir berbanding negeri diterajui Barisan Nasional (BN), sekurang-kurangnya terdapat perbezaan dari segi hubungan,” katanya lapor sebuah laman portal.

Mohd Amar turut mengakui Kelantan bergantung kepada bantuan Kerajaan Pusat, sama seperti negeri lain.

“Pulau Pinang dan Selangor pun bergantung kepada Kerajaan Pusat, malah Selangor sendiri ada hutang dengan Kerajaan Pusat.

“Sekiranya Kerajaan Pusat tidak bantu dari segi agensi, negeri tidak boleh berjalan. Apa yang pasti, tiada negeri mampu hidup tanpa bantuan pusat,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, Najib ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 berkata, beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan.

Katanya, ia termasuk melaksanakan pembangunan projek yang dapat melenyapkan ‘mimpi ngeri’ rakyat negeri itu yang sering dilanda banjir termasuk banjir besar pada 2014. – MalaysiaGazette