Home Politik Isu mualaf, kerajaan jangan main api – Nasrudin

Isu mualaf, kerajaan jangan main api – Nasrudin

Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa kerajaan mempunyai kebarangkalian untuk mengangkat semula Seksyen 88A Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan terhadap kes Indira Gandhi kelmarin merupakan satu lagi episod pertembungan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di negara ini.

“Pas mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai suatu badan yang berautoriti dan profesional dalam melaksanakan tugas kehakiman.

“Namun, Pas juga berpendirian isu ini memerlukan langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih komprehensif demi mewujudkan keharmonian di antara dua institusi mahkamah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nasruddin, ketika pindaan baru Akta 164 dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu, Pas telah kemukakan pendirian supaya kerajaan mempertimbangkan suatu bentuk sulh atau mediasi atau timbang tara bagi mewujudkan penyelesaian menang-menang yang lebih harmoni di antara kedua-dua belah pihak.

Ini kerana katanya, kes-kes yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan ketegangan agama, bahkan melibatkan kebajikan dan emosi kedua-dua belah keluarga khususnya anak-anak.

“Justeru, langkah ke arah pendamaian seharusnya diutamakan.

“Pas juga membantah keras pendirian kerajaan untuk mencadangkan dikemukakan semula pindaan Seksyen 88A yang telah ditarik balik dalam pindaan sebelumnya, selain bersifat berat sebelah, pindaan seksyen berkenaan hanya menambahkan ketegangan kepada isu yang sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, percubaan mengemukakan semula Seksyen 88A tersebut bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan malah menyemarakkan kemarahan umat Islam.

Justeru kata beliau, kerajaan usah mencabar kesabaran umat Islam dengan bermain sentimen dalam hal ini.

Katanya, perkara itu sememangnya telah diduga akan berlaku ketika Pas membantah pindaan Akta 164 di Parlimen pada sidang yang lalu.

“Kebarangkalian Seksyen 88A kembali diangkat semakin nyata. Kerajaan dilihat terus menerus tunduk kepada pihak yang menentang Islam. Ini perkembangan yang sangat mendukacitakan bagi ummat Islam,” tambah beliau.

“Pas mengharapkan kerajaan jangan bermain api di tepi loji minyak. Sebaliknya kerajaan mesti mengambil langkah yang proaktif dan tidak mengambil tindakan “separuh masak” dalam menangani kerumitan isu yang sedang melanda ketika ini. – MalaysiaGazette