Home Politik RoS lengah daftar PH: Satu tuduhan jahat – GAUM

RoS lengah daftar PH: Satu tuduhan jahat – GAUM

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPUR – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sengaja melenggahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) merupakan satu tuduhan jahat terhadap agensi itu.

Pengerusi Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kelewatan dua parti PH mengadakan mesyuarat agung tahunan dipercayai antara sebab mengapa PH masih belum didaftarkan.

“Harus diingat selepas diberikan amaran, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didaftarkan pada 8 September 2016 baru mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya pada 30 Disember 2017.

“Begitu juga pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP. Mungkin alasan seumpama ini juga menjadi salah satu faktor kenapa sehingga kini PH masih belum didaftarkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi PH itu semalam yang mendakwa RoS sengaja melewatkan kelulusan pendaftaran pakatan pembangkang itu untuk menjejaskan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 24 Julai 2017, PH telah menghantar draf perlembagaan gabungan parti pembangkang itu secara dalam talian kepada RoS.

Manakala struktur dan logo PH yang berjaya dimuktamadkan dan Mahathir secara rasmi dilantik sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu dibuat pada 14 Julai 2017.

Zulkarnain juga berkata, Mahathir dinasihatkan bersabar dan tidak mengganggu atau memberi sebarang tekanan kepada agensi itu dalam membuat proses pendaftaran PH mengikut undang-undang.

“RoS mempunyai hak untuk memproses kesemua pendaftaran parti tanpa ada apa-apa tekanan tidak seperti di zaman Tun Mahathir masih lagi menjadi Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain mencabar Mahathir mendedahkan jumlah parti baharu yang didaftarkan RoS yang turut diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa era zaman pemerintahannya.

“Penjelasan ini amat penting untuk mendedahkan sikap sebenar Tun Mahathir yang sentiasa cuba mengekang demokrasi mengikut acuan beliau semasa menjadi Perdana Menteri yang lalu.

“Ketika itu, untuk mendaftarkan parti baharu yang menentang UMNO bukanlah satu perkara mudah,” katanya.

Katanya lagi, keadaan itu jauh berbeza selepas pemerintahan negara diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya tidak mengekang mana-mana pihak untuk mendaftarkan pertubuhan atau parti politik pro-pembangkang.

“Demokrasi jelas sentiasa hidup subur pada zaman Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

“Untuk mendaftarkan parti baharu hanya dengan dokumen lengkap dan mengambil masa kurang dari 60 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.