KUALA LUMPUR – Hampir 1.5 juta penganut dan pengujung hadir membayar nazar serta melakukan upacara sembahayang untuk Dewa Muruga sempena sambutan Thaipusam sejak tiga hari berturut-turut di Kuil Sri Subramaniyar Swamy, Batu Caves.
Thaipusam yang diraikan pada hari ini merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.
Ia bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
Di Malaysia, perayaan Thaipusam dirai dengan penuh meriah sejak 128 tahun lalu.
Penganut Hindu akan menunaikan nazar dengan menjunjung ‘Paal Kudam’ yang dianggap paling suci dan ‘Kavadi’ yang dihiasi cantik dengan menaiki ratusan anak tangga Batu Caves menuju kuil di dalam gua itu.
Mereka juga akan turut melakukan upacara lain seperti memecahkan kelapa, membotakkan rambut selain memberi sumbangan makanan kepada yang memerlukan ketika sambutan Thaipusam.
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, jangkaan sebanyak 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong asing telah membanjiri Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7m pada sambutan Thaipusam tahun ini.
Thaipusam di Batu Caves adalah yang terbesar sehingga Batu Caves disinonimkan seperti ‘mini India’ di mana ia dibanjiri oleh ratusan ribu penganut agama Hindu dari seluruh dunia.
Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di anggap sebagai ikonik pelancongan peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi ‘lubuk rezeki’ kepada para peniaga untuk membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori bagi menambah kemeriahan sambutan Thaipusam.
Sebanyak 400 buah gerai telah didirikan di sepanjang kuil Sri Subramaniyar Swamy yang menempatkan pelbagai kedai termasuk makanan, manisan, pakaian, cenderemata dalam dan luar negara dan banyak lagi.
Tahun ini juga istimewa apabila Kuil Sri Subramaniyar membuat penampilan pedati emas setinggi 6.7m yang julung kali digunakan pada perarakan sambutan itu bersama pedati perak yang menjadi tradisi selama ini.
Pengerusi jawatankuasa kuil tersebut, Tan Sri R. Nadarajah berkata pedati emas bernilai RM5 juta itu dimasukkan dalam perarakan tahun ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihatnya.
Walaupun kuil Sri Subramaniyar Swami berdepan dengan kontoversi serta kritikan segelintir pihak sehingga bertindak melancarkan kempen ‘boikot’ berikutan pertelagahan isu gerhana bulan pada hari ini.
Hampir kesemua kuil di Malaysia akan ditutup berikutan berlakunya fenomena gerhana bulan pada hari ini 7.48 malam dan berakhir 11.11 malam hari yang juga merupakan jatuhnya tarikh sambutan Thaipusam.
Ketika waktu berlakunya gerhana bulan, kesemua kuil seluruh dunia akan ditutup malah semua amalan serta sebarang upacara keagamaan adalah ditegah sama sekali.
Bagaimanapun, Nadarajah enggan menututup kuil sebaliknya membenarkan penganut untuk terus melakukan upacara nazar dan sembahyang akan terus dijalankan seperti biasa.
Ketika ditemui Malaysia Gazette, jelas Nadarajah, beliau telah mendapat khidmat nasihat pelbagai pakar keagamaan sebelum bertindak untuk membuka pintu kuil di Batu Caves kali ini.
“Menutup kuil adalah amalan dan bukan ritual dalam agama kita. Kami juga telah melakukan ‘parigaram’ (upacara khas) bagi menangani isu gerhana bulan.
“Tidak ada sebarang masalah, segelintir pihak sengaja mahu mewujudkan ketegangan dan rasa bimbang tidak bertempat, itu sahaja. Masyarakat kita juga celik dan nampak kebenarannya,” ujarnya.
Dua lagi lokasi utama sambutan Thaipusam di negara ini iaitu Kuil Balathandayuthapani di Goerge Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniya Swami di Sungai Petani, Kedah dilaporkan akan ditutup semasa waktu gerhana bulan itu.- MalaysiaGazette
Usaha ‘boikot’ Thaipusam di Batu Caves gagal