
JAKARTA – Kejadian gempa bumi bukanlah sesuatu yang “luar biasa” di Indonesia – hampir setiap hari berlaku gegaran gempa di negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik itu.
Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), kejadian gempa dicatatkan berlaku hampir setiap hari – kebiasaannya pada skala sederhana atau lemah pada Skala Richter.
Ia juga kerap berlaku di dasar laut, dengan pusat gempa jauh sehingga beratus-ratus kilometer yang menimbulkan kekhuatiran terjadinya tsunami.
Bagi tempoh sepanjang Januari 2018, sebanyak 44 kejadian gempa dicatatkan berlaku di Indonesia.
Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada Skala Richter di Lebak Banten berlaku pada 23 Jan, kira-kira 153km dari Jakarta, yang turut ‘menggoncang’ ibu kota Jakarta yang dihuni lebih 10 juta orang itu.
Gempa bumi bukanlah suatu yang dibimbangkan di Malaysia, namun mengikut data Kementerian Pelancongan Indonesia, lebih sejuta rakyat Malaysia berkunjung ke Indonesia setiap tahun.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya terjadi gempa? Jangan panik – patuhi arahan pihak berkuasa;
Jika berada di dalam bangunan atau rumah, berlindunglah di bawah meja bagi mengelak ditimpa runtuhan; Jangan menggunakan lif sewaktu proses evakuasi, sebaliknya guna tangga kecemasan tanpa berlari;
Jika berada di kawasan lapang, elakkan berada berdekatan pokok atau monumen tinggi; Jika berada di pantai, segera beredar ke kawasan tinggi kerana gempa bumi berkemungkinan menyebabkan berlakunya tsunami.
Gempa bumi juga akan menyebabkan rasa mual, loya dan pening kepala berikutan ketidakseimbangan badan akibat gegaran gempa, seolah-olah sindrom penyakit ‘vertigo’. – Bernama