KUALA LUMPUR – Kopi pracampuran yang didakwa berbahaya dan menjadi punca penggunanya mengalami simptom letih serta lemah sudah dihentikan penjualannya di Pulau Pinang.
Penjualan kopi tersebut dihentikan daripada dijual di pasaraya Sunshine, Bayan Lepas susulan laporan beberapa individu terpaksa dirawat di hospital selepas meminum kopi tersebut.
Pengurus Besar Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd, Yee Kam Ming berkata, mereka sudah memaklumkan kepada pembekal daripada menjual kopi itu dan mengambil keputusan untuk menyimpan kesemua stok kopi tersebut.
“Pembekal pun tak ada masalah, malah mereka minta kita simpan sehingga keputusan siasatan dan kajian diperolehi dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang. Oleh itu, sejak pagi tadi (semalam), kita tak jual kopi tersebut,” beliau dipetik berkata.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah mengesahkan mangsa kini dilaporkan meningkat sehingga lima orang.
Menurutnya, kes pertama direkodkan pada 27 Januari lalu yang mana, kelima-lima mangsa itu menunjukkan gejala sama iaitu lemah dan letih teruk dipercayai berpunca dari kopi segera itu.
“Selain kedua-dua lelaki itu, seperti yang dilaporkan semalam, terdapat tiga kes yang sama namun dibenarkan pulang selepas kesihatan mereka bertambah baik. Dua lagi masih dirawat dan dalam perhatian namun dalam keadaan stabil.
“Setakat ini, kita sudah mengambil sampel darah pesakit dan akan mengemukakan kepada jabatan kimia untuk menjalankan beberapa ujian sebelum kita memperolehi keputusan. Ia akan mengambil masa. Kita juga mengambil sampel kopi untuk dihantar ke jabatan kimia,” katanya. – MalaysiaGazette