Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, kaedah itu hanya merosakkan kestabilan negara kerana ia cuba menjejaskan kelancaran proses pilihan raya susulan lambakan undi rosak.
“Pakatan Harapan (PH) tahu mereka tidak akan menang dan sukar bentuk kerajaan selepas PRU14 kerana BN masih kuat serta diterima oleh majoriti rakyat.
“Jika rakyat pangkah BN pada kertas undi nanti, mereka akan kalah teruk. PH cuba rosakkan persepsi rakyat dengan cadangan tidak masuk akal ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Kempen #UndiRosak yang digerakkan pihak tertentu di laman sosial terutama di Twitter bagi tujuan memboikot PRU14.
Kempen #Undi Rosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU yang kini tular menerusi laman sosial mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang.
Kempen dengan #UndiRosak itu muncul pada 7 Januari lalu selepas PH menamakan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang jika menang pada PRU14.
Ramesh berkata, beliau sedia menjawab kekeliruan orang ramai dan rakyat mengenai kempen itu yang boleh menjejaskan keamanan dan mengancam kestabilan negara.
“Kalau tak faham tanya, kalau keliru tanya, kalau ada soalan tanya, saya akan jawab soalan anda, marikan kita bersama-sama dengan BN untuk negara Malaysia yang terbaik,” katanya.
Katanya, kempen itu menunjukkan pembangkang sangat terdesak untuk merampas Putrajaya daripada BN yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat sejak merdeka.
“Pembangkang bersungguh-sungguh guna kempen ini mahu lihat BN gagal pada PRU14 tidak kira atas sebab kalah atau majoriti BN semakin berkurangan.
“Rakyat Malaysia tidak mahu beri undi rosak pada PRU14 kerana mereka tahu akan akibatnya,” katanya. – MalaysiaGazette