Home Politik PRU14: Pas akui kempen boikot menangkan BN

PRU14: Pas akui kempen boikot menangkan BN

Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas mengakui kempen boikot Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja bercanggah dengan Islam bahkan hanya memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) kekal memerintah negara ini.

Timbalan Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, kempen boikot PRU14 boleh memberi mudarat lebih besar kerana membiarkan parti pemerintah menang tanpa bertanding apabila tiada parti lain mencabar dan bertanding.

“Parti pemerintah (BN) juga boleh kekal memerintah jika pengundi memboikot pilihan raya kerana parti pembangkang yang bertanding tidak cukup undi untuk menewaskannya.

“Mereka yang begitu teruja berkempen untuk meminta pengundi memboikot PRU14 harus melihat lebih jauh supaya mereka tidak mengadaikan negara ini.

“Ia hanya mengekalkan BN melainkan mereka adalah ejen-ejen yang dibayar oleh BN untuk memujuk pengundi pembangkang tidak keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Kempen #UndiRosak yang digerakan pihak tertentu di laman sosial terutama di Twitter bagi tujuan memboikot PRU14.

Kempen #Undi Rosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU yang kini tular menerusi laman sosial mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang.

Kempen dengan #UndiRosak itu muncul pada 7 Januari lalu selepas Pakatan Harapan (PH) menamakan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang jika menang pada PRU14.

Khairil Nizam berkata, gerakan kempen membundi rosak lebih parah daripada boikot PRU14 kerana ia satu penganiayaan dan kerugian kepada diri pengundi dan dana awam yang digunakan untuk melaksanakan pilihan raya.

“Pengundi yang hadir semata-mata untuk membuat undi rosak membazirkan masa dan tenaga mereka kerana perlu datang ke tempat pembuangan undi dan berbaris hanya untuk membuat undi rosak,” katanya.

Katanya, penggerak kempen berkenaan turut menyelit sentimen agar pengundi bukan sahaja memboikot PRU14 bahkan mereka juga tidak suka melihat pembangkang menggantikan BN.

“Blok pembangkang kini terdiri daripada Gagasan Sejahtera dan PH. Pengundi sebenarnya mempunyai pilihan lain selain BN dan sewajarnya kempen boikot pilihan raya, khususnya kalangan anak muda tidak berlaku,” katanya.

Beliau mendakwa, kempen boikot PRU14 di Malaysia banyak terpengaruh dengan agenda Golongan Putih (Golput) di Indonesia yang telah wujud sejak 1971.

“Golput di Indonesia adalah kumpulan haluan kiri yang masih aktif mengadakan kempen “BoikotPRU”.

“Namun hingga ke hari ini kempen-kempen Golput gagal kerana mereka tidak menyelesaikan masalah pengundi di Indonesia yang mahukan perubahan,” katanya. – MalaysiaGazette