Home Utama FRIM Inc jangan tersasar – Ahmad Zahid

FRIM Inc jangan tersasar – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Frim Inc di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – FRIM Incorporated (FRIM Inc.) yang baru dilancarkan diseru untuk hanya memberi fokus kepada penjanaan pendapatan melalui hasil penyelidikan dan pembagunan (R&D) sehingga ke arena antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, FRIM Inc perlu komited dalam mengembangkan produk berteraskan organik dan herba ke peringkat dunia melalui anak syarikat ini.

Menurutnya, FRIM Inc yang ditubuhkan setelah hampir 10 tahun tidak seharusnya hilang fokus seperti organisasi lain yang memberikan tumpuan kepada pembelian aset termasuk di luar negara untuk mengembangkan perniagaan.

“Saya tidak mahu FRIM Inc jadi seperti organisasi lain, hilang tumpuan dan fokus sebenar dengan melakukan perkara-perkara lain selain daripada objektif utama yang mahu melakukan R&D.

“Saya seru dan mohon kepada FRIM Inc supaya fokus pada perniagaan teras, lakukan R&D seperti yang dirancangkan. Saya tidak mahi FRIM Inc untuk lari daripada perniagaan teras, jangan sampai beli resort, hotel di luar negara setelah memiliki hasil yang stabil.

“Jangan lakukan projek di luar perniagaan teras, hanya beri fokus kepada bidang kita. Beri tumpuan hasilkan produk organik yang mendatangkan hasil lumayan kepada syarikat, bawa nama FRIM Inc ke persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian FRIM Inc di Insititut Penyelidikan Perhutan Malaysia di Kepong, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junanidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi FRIM merangkap Pengerusi FRIM Inc, Datuk Seri Azizan Ahmad.

Dalam pada masa yang sama, Ahmad Zaid turut mengingatkan ahli lembaga dalam syarikat tersebut tidak sesekali mementingkan agenda peribadi dengan meraih keuntungan lumayan dan kemudiannya tersasar dari fokus utama.

“Masalah menjadi lebih besar apabila ada sifat tamak dalam diri kita. Masing-masing mahu menjaga kepentingan peribadi dan tersasar dari objektif asal. Saya tidak mahu semua ini berlaku, saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi terutamanya terhadap Azizan Ahmad sebagai peneraju utama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahid Hamidi turut menggesa pihak berwajib FRIM untuk terus mempertahankan konsep ‘go green’ dalam semua aspek.

“Sudah tiba masanya untuk kita pertahankan konsep hijau atau go green ini. Kita seringkali dituduh segelintir termasuk luar negara kononnya kita tebang habis gunung ganang bukit bakau demi pembangunan.

“Tunjukkan pada mereka semua, apakah inisiatif yang kita lakukan selama ini. Kehijauan flora fauna ini perlu terus dikekalkan,” tegasnya.

Terdahulu, Azizan dalam ucapannya telah mengumumkan nama dua spesies tumbuhan bukit batu kapur yang masing-masing dinamakan sempena Ahmad Zahid dan Wan Junaidi iaitu ‘Gymnostachyum ahmadzahidianum’ daripada keluarga tumbuhan Belalai Gajah yang ditemui di Kelantan dan ‘Impatiens feonajunaidiana’ daripada keluarga Keembong yang ditemui di Perlis.

FRIM Inc. ditubuhkan pada 4 Ogos 2017 sebagai anak syarikat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mentransformasikan hasil penyelidikan dan pembangunan termasuk perkhidmatan teknikal FRIM kepada aktiviti komersial untuk penjanaan pendapatan.

Setakat ini, FRIM Inc dianggarkan memperoleh perniagaan hampir RM1 juta dengan lebih 10 syarikat serta agensi.- MalaysiaGazette