Home Politik Kitar semula isu lama untuk lobi jadi calon – MIC Perak

Kitar semula isu lama untuk lobi jadi calon – MIC Perak

Pengerusi MIC, Datuk V.Elango
KUALA LUMPUR – Tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) belum pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi perang mulut mula kedengaran bukan sahaja pembangkang, bahkan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Kali ini melibatkan MIC Perak apabila isu salah lapor sebuah akhbar Tamil tempatan dimainkan semula oleh pihak tertentu berhubung dakwaan penyelewengan dana kaum India negeri sedangkan ia tidak berasas.

Pengerusinya, Datuk V. Elango berkata, akhbar Tamil berkenaan telah salah lapor, malah menemui beliau susulan dakwaan wujudnya dana untuk kaum India Perak berjumlah RM50 juta telah diselewengkan.

Beliau berkata, isu itu cuba dimainkan semula semata-mata untuk menyerang kepimpinan MIC Perak selepas ada pihak tertentu ‘berhajat’ menjadi calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang.

“Sekarang saya tahu siapa dia,  semalam pun saya dapat berita ada orang pergi melobi (Menteri Besar Perak) untuk jadi calon di Hutan Melintang, dia nak burukkan nama saya.

“Ini orang dengki saya buatlah (aduan seleweng dana kaum India Perak). Itulah (cuba jejas nama Datuk menjelang PRU14) tiada apa.

“Ada dua, tiga orang nak jadi calon. Saya pun ada dengar berita dia cakap buruk macam itu, macam ini kepada saya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang enggan didedahkan identitinya bahawa dana kaum India yang diperuntukkan Kerajaan Perak berjumlah RM1 juta telah diselewengkan oleh pengerusi MIC Perak itu.

Sumber MalaysiaGazette turut mendedahkan Elango selaku penasihat kaum India Perak mendapat peruntukan RM1 juta setiap tahun daripada pejabat Menteri Besar Perak.

Elango berkata, mustahil dana itu diselewengkan kerana peruntukan itu bukan diberi terus kepada beliau, sebaliknya ia dikawal selia oleh Jabatan Kewangan Negeri dan Jabatan Audit Negeri.

“Dua jabatan ini di bawah Menteri Besar Perak, saya hanya bekerja di bawah Menteri Besar Perak.

“Mana boleh kita ambil dana kerana semuanya terus kepada penerima. Contohnya kita bagi dana kepada kuil, dana itu salur terus ke akaun kuil, macam mana boleh seleweng,” tegasnya.

Bagaimanapun Elango tidak menolak berita palsu itu sengaja ditularkan di laman sosial kerana ada pihak kuil atau badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu yang kecewa selepas tidak mendapat peruntukan itu.

“Contohnya di Perak, ada 700 kuil, setahun kita hanya boleh bagi dalam 100 kuil saja, sebab dana terhad, yang tak dapat itu dia marahlah.

“Lagi satu NGO India di Perak, ada lebih 2,000 pertubuhan, setahun kita hanya boleh beri dalam 80 NGO saja, bakinya NGO lain dia marahlah, macam mana kita nak bagi semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette