PULAU PINANG – Kementerian Kesihatan sedang menunggu keputusan makmal terhadap ujian sampel kopi durian yang mengakibatkan dua warga Nepal diserang letih teruk minggu lalu sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kopi durian yang diminum pengawal keselamatan terbabit dicampur dadah.
Tambahnya, perkara itu juga berdasarkan siasatan awal polis yang mengesahkan terdapat bahan campuran asing di dalam peket kopi durian itu yang yang disyaki dadah dan kini sedang dikenal pasti.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan unsur khianat khususnya dalam kalangan pesaing syarikat yang mengeluarkan produk kopi tersebut.
“Apa pun kita perlu tunggu keputusan makmal yang sedang dijalankan ketika ini bagi sebelum dapat membuat kesimpulan seterusnya mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan kopi durian yang diminum dua pengawal keselamatan warga Nepal sehingga diserang gejala seperti sawan dalam kejadian di Pulau Tikus di sini Sabtu lalu, dicampur sejenis bahan asing dipercayai dadah.
Sehubungan itu, polis mengambil keterangan seorang wanita Cina yang memberikan peket kopi terbabit kepada pengawal keselamatan berkenaan pada pagi hari kejadian bagi menentukan sumber produk berkenaan.
Sementara itu, ditanya sama ada produk kopi durian tersebut akan ditarik balik penjualannya di pasaran, Dr. Hilmi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang arahan berkenaan buat masa ini.
Tambahnya, kes itu juga disifatkan insiden terpencil dan pengguna khususnya sudah mendapatkan gambaran sebenar kejadian berkenaan.
“Jadi mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk mengelak daripada mengambil produk berkenaan buat masa ini atau sebaliknya,” katanya.