BENTONG – Kesungguhan mengusahakan ternakan ikan air tawar hingga membawa pulangan lebih RM60,000 sebulan membolehkan seorang anak peneroka dari Felda Tenggaroh, Johor merangkul Anugerah Usahawan Agropreneur Felda di sini hari ini.
Muhamad Nazri Yusof, 37, yang mengusahakan kolam air tawar selama lapan tahun bersyukur kerana keputusannya menceburi bidang keusahawanan ternyata membuahkan hasil.
Beliau yang kini dibantu oleh tujuh orang pekerja berkata, anugerah yang diterimanya itu merupakan penghargaan kelapan diterimanya setakat ini.
“Saya berharap anak-anak generasi baru Felda memberanikan diri untuk menambah pendapatan mereka melalui bidang perniagaan tetapi kenalah bersedia untuk berhadapan dengan risiko.
“Namun kalau kita berusaha dengan tekun, tiada alasan untuk tidak mencapai kejayaan,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Bagi Mohd Norodzaime Affandy Mohd Rodzj, 31, dari Felda Lepar Utara 3, Jerantut, kejayaannya merangkul Anugerah Usahawan Jaya Felda membuktikan berhijrah ke bandar bukan jaminan untuk mencapai kejayaan.
Dia yang memulakan perniagaan pengangkutan dengan dua buah lori sejak 2006, kini mampu tersenyum bangga kerana mampu memiliki 30 buah lori dan 150 ekor lembu.
“Keuntungan perniagaan lori saya laburkan pula dalam bidang penternakan dan Alhamdulillah saya mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM30,000 sebulan.
“Siapa kata kita perlu ke bandar saja kalau nak berjaya, di kawasan kita pula kita boleh mencapai kejayaan kalau kita serius dan fokus dengan apa yang kita usahakan,” katanya yang memulakan perniagaan dengan modal cuma RM5,000 sahaja.
Beberapa individu dan persatuan Felda juga menerima anugerah berbentuk hadiah dan wang tunai daripada Razali atas inisiatif dan kejayaan mereka.
Turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad dan barisan tertinggi pengurusan Felda. – MalaysiaGazette