Home Nasional Beri peneroka urus dua sungai Lurah Bilut – Shahrir

Beri peneroka urus dua sungai Lurah Bilut – Shahrir

Reaksi bersahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mendengar penerangan daripada Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) semasa sesi walkabout pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

BENTONG – Keindahan semula jadi Felda Lurah Bilut membuatkan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mahu dua batang sungai yang mengalir di penempatan itu dirawat dan boleh untuk digunakan peneroka.

Beliau berkata, Felda bukan sahaja difokuskan kepada aspek teknologi dan infrastruktur malah mengekalkan alam sekitar sebagai aset masa depan.

“Kita akan rawat air Sungai Bilut dan Sungai Kertau (boleh diminum) untuk kegunaan peneroka,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, di sini, hari ini.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berucap pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 04 FEBRUARI 2018

Shahrir juga mahu setiap peneroka dan generasi baharu mempunyai semangat dan keberanian yang dibantu ilmu terkini serta cita-cita besar untuk melakukan transformasi kepada tanah rancangan Felda.

Katanya, komuniti peneroka itu tidak boleh melupakan sejarah terutama gagasan yang dibawa pengasasnya, Tun Abdul Razak Hussein.

Peneroka Felda yang hadir pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

“Sejarah pembukaan Felda Lurah Bilut sejak 60 tahun lepas tidak hanya kekal dalam buku, sebaliknya sejarah boleh mengajar kita untuk mengulangi pencapaian kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette