Home Politik Felda beri gambaran kekuatan politik kerajaan – PM

Felda beri gambaran kekuatan politik kerajaan – PM

Najib Razak
BENTONG – Pembukaan tanah rancangan Felda sejak 1958 bukan sahaja bertujuanĀ  menjana pendapatan peneroka bahkan ia simbolik kepada kekuatan politik kerajaan pada hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk memastikan kelangsungan Felda dalam membela nasib peneroka berterusan, komuniti itu wajib mempertahankan dan merealisasikan impian Tun Abdul Razak Hussein.

“Felda ini bukan sahaja tempat kita cari rezeki, tetapi Felda ini juga merupakan tanah subur kekuatan politik kerajaan yang ada pada hari ini

“Pastikan pilihan raya pada kali ini semua orang turun Felda menggambarkan kekuatan kita, menterjemahkan impian Tun Razak itu menjadi kenyataan kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Kedai D’Mart Lurah Bilut pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 04 FEBRUARI 2018

Beliau juga menggesa generasi baharu dan peneroka bertanggungjawab mempertahankan Felda daripada diganggu-gugat oleh pihak tertentu hingga boleh menjejaskan masa depan komuniti itu.

“Generasi baharu dan peneroka Felda, marilah kita bersatu padu, bersungguh-sungguh jadikan Felda ini sebagai benteng dan legasi kita, serta maruah dan tanggungjawab kita.

“Marilah sama-sama kita berjuang pastikan impian Allahyarham Tun Razak itu tercapai,” katanya.

Najib berkata lagi, inisiatif Felda 2.0 yang dirasmikan beliau hari ini adalah sejajar dengan pesanan bapanya di mana pembangunan negara berterusan boleh kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencuba kopi di Kedai D’Mart Lurah Bilut pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 04 FEBRUARI 2018

“Saya masih ingat lagi satu pesanan Allahyarham ayahanda saya iaitu kedaulatan negara kita bukan saja terjamin melalui sistem pertahanan yang kukuh.

“Tapi lebih bermakna lagi, lebih terselamat lagi soal kedaulatan negara kita jika didasari kepada pembangunan yang menyeluruh,” jelasnya.

Najib turut menegaskan, program transformasi untuk menjadikan Lurat Bilut sebagai bandar pintar perlu dipastikan menjadi kenyataan dengan penglibatan daripada semua pihak khususnya masyarakat peneroka.

“Sebab itu kita kena pastikan program seperti pembangunan Lurah Bilut tidak boleh gagal sama sekali.

“Ini kerana berputiknya konsep dan gagasan Felda, segala-galanya bermula di sini, di tapak Lurah Bilut gagasan Felda bermula dan menjadi gagasan yang paling berjaya dalam pembangunan reformasi tanah di seluruh dunia.

“Kalau Felda 1.0 bermula di sini, maka sewajarnya Felda 2.0 juga bermula di sini di mana kita bawa kemajuan terkini menjadikan komuniti ini pintar, bestari dan lestari dari segi pembangunan,” katanya.

Tambah Najib, Felda juga boleh dipertahankan dengan memastikan semangat penerokaan tidak pupus ditelan zaman dan perlu disemai dan diwarisi kepada generasi akan datang.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan di atas Titian Tun Razak ketika hadir di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto IMRAN FAKHRI, 04 FEBRUARI 2018

“Saya harap tidak akan pupus, tidak akan tenggelam, tidak akan dilupakan oleh kita sama ada kita generasi kedua, ketiga atau keempat.

“Inilah bekalan untuk kita berjaya, mungkin tidak lagi sebagai seorang peneroka, mungkin sebagai seorang usahawan dalam bidang E-Dagang, nak eksport produk kita misalnya ke negara China.

“Jangan lupa bahawa ini semua bukan perjuangan kerajaan sahaja tapi usaha datuk nenek kita. Saya harap semangat penerokaan ini akan hidup membara menjadi pegangan kita sehinggalah pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette