Home Nasional Kesedaran penjagaan mata masih rendah – Tiong Lai

Kesedaran penjagaan mata masih rendah – Tiong Lai

Presiden MCA, Liow Tiong Lai pada sidang media bersama CEO Klinik Pakar Mata Optimax, Sandy Tan (pertama dari kanan) selepas majlis pembukaan cawangan ke-11 Klinik mata Optimax di Kuala Lumpur. Foto: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR- Kewujudan lebih banyak klinik pakar swsta yang menawarkan rawatan mata dapat menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang itu di hospital kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mengikut situasi semasa, tahap kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mata dalam kalangan penduduk negara iniĀ  masih lagi rendah.

“Kita tahu dalam aspek penjagaan kesihatan mata, kita mempunyai kekurangan pakar di hospital kerajaan dan dengan adanya klinik pakar mata swasta dapat mengurangkan beban kekurangan pakar mata di negara ini.

“Saya yakin klinik pakar swasta dapat menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit mata yang secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai rakyat sedar akan perlunya penjagaan kesihatan mata,” katanya selepas membuka cawangan ke-11 Klinik Pakar Mata Optimax hari ini.

Tambah beliau, Klinik Pakar Mata Optimax merupakan antara syarikat swasta yang memainkan peranan penting kepada Yayasan Perubatan 1MCA untuk membiayai rawatan mata, khususnya katarak, kepada masyarakat kurang berkemampuan.

Sempena pembukaan cawangan ke-11 Klinik Pakar Mata Optimax, syarikat itu menyalurkan dana berjumlah RM300,000 kepada Yayasan perubatan 1MCA untuk membiayai rawatan lebih ramai penduduk negara ini sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1995, klinik pakar mata itu telah merawat lebih 120,000 pesakit.

Katanya, pembukaan cawangan baharu itu akan memperluaskan lagi usaha pihaknya menyediakan perkhidmatan rawatan mata yang berkualiti dan diiktiraf pakar mata atau optalmologis.

Tambah beliau, prosedur rawatan mata mereka juga menawarkan jaminan sepanjang hayat dan menawarkan harga rawatan yang istimewa untuk rawatan susulan oleh pesakit.

 

“Malah sejak 2016 kami telah menyediakan rawatan katarak percuma kepada 100 pesakit yang kurang berkemampuan menerusi kerjasama Yayasan 1MCA seain pemeriksaan mata percuma untuk murid sekolah anak yatim dan rumah penjagaan warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette