PULAU PINANG – Kementerian Kesihatan menggesa pihak polis menjalankan siasatan berhubung kemungkinan pengedaran kopi yang bercampur dadah di negeri ini didalangi sindiket yang ketika ini sedang bergerak aktif.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya menerima dua lagi laporan kejadian mangsa diserang gejala seperti sawan selepas meminum kopi campuran yang diberikan individu tidak dikenali.
Malah, tambah beliau, pihaknya turut mendapat maklumat kopi itu, khususnya yang dicampur dengan perisa durian, dibekalkan ejen-ejen tertentu untuk diagihkan kepada orang ramai.
“Sehubungan itu, kita menggesa orang ramai supaya tidak menerima sebarang produk kopi campuran daripada pihak tidak dikenali.
“Buat masa ini, kita sedang menjalankan analisis kandungan sampel kopi yang diberikan kepada orang awam itu dan kita juga berharap polis dapat menjalankan siasatan segera berhubung kemungkinan wujudnya sindiket di sebalik kejadian ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Terapi Holistik di Georgetown di sini hari ini.
Minggu lalu, seramai lima individu termasuk dua pengawal keselamatan warga Nepal dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat diserang gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi berperisa durian yang diberikan individu tidak dikenali.
Siasatan awal polis kemudiannya menemui bahan asing yang disyaki dadah telah dicampur di dalam kopi tersebut dan peket kopi itu diedarkan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Subarmaniam berkata, siasatan awal terhadap kilang yang mengeluarkan kopi tersebut juga tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan pengeluar kopi berkenaan dengan kes tersebut.
Tambahnya, kesemua kes kopi yang dicampur benda asing itu juga hanya dikesan di negeri ini setakat ini dan motif pengedaran tersebut sedang disiasat pihak polis – MalaysiaGazette