Home Dunia Mentaliti Perang Dingin AS perlu dikikis

Mentaliti Perang Dingin AS perlu dikikis

BEIJING – China menggesa Amerika Syarikat (AS) mengikis amalan ‘mentaliti Perang Dingin’ dan tidak menyalah tafsir penambahan tenteranya, selepas Washington menyiarkan dokumen rancangan memperluaskan kemampuan nuklearnya pada Jumaat lalu.

“Keamanan dan pembangunan adalah trend global semasa. Amerika Syarikat, negara yang mempunyai senjata nuklear paling banyak patut mengambil inisiatif seiring dengan trend ini,” kata Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan hari ini.

Penelitian semula dasar nuklear AS turut menimbulkan kemarahan Russia yang menganggap dokumen itu sebagai ‘konfrontasi’ dan meningkatkan risiko silap perkiraan antara kedua-dua negara.

Tentera AS meletakkan China dan Rusia yang dianggap sebagai ‘kuasa pengubah’ sebagai matlamat utama strategi pertahanan baharu pada awal bulan ini.

Dengan memperluaskan kemampuan bom nuklear kecilnya, AS akan mencegah Rusia daripada menggunakan senjata nuklear, kata pegawai negara itu.

China pula menuduh AS membuat ‘tanggapan spekulasi’ mengenai niat China sambil berkata, Beijing sentiasa mengambil langkah tidak berbuat apa-apa terhadap perkembangan senjata nuklear dan mengekalkan bom nuklearnya pada paras minimum.

“Kami berharap Amerika mengikis mentaliti Perang Dingin, melaksanakan tanggungjawab khasnya menghapuskan bom nuklear, memahami niat strategik China dengan betul dan melihat pertahanan China serta pertambahan tentera kami secara objektif,” kata kementerian itu menerusi laman webnya. – MalaysiaGazette