Disebabkan ‘keunikannya’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan melawat dan berswafoto di hadapan kilang berkenaan dalam kunjungannya ke sana.
Namun tidak ramai yang tahu, kerja-kerja melukis mural ini dihasilkan oleh seorang pemuda berusia 33 tahun yang ‘mengerjakan’ kreativitinya seorang diri selama hampir tiga minggu!
Dia yang dimaksudkan adalah Abdul Rashid Abdul Raman atau Acit, anak kelahiran Pulau Pinang.
Pemuda lulusan diploma dalam bidang multimedia dari KPTM Ipoh ini pada asalnya hanya menjadikan lukisan mural dan graffiti sebagai ‘hobi nakalnya’.
Siapa sangka, bekas pereka grafik itu kini menjadikan perkara tersebut sebagai kerjaya sepenuh masanya sejak tiga tahun lalu.
Menurut Acit, beliau bukan sahaja melukis di dalam negara tetapi turut mendapat undangan hingga ke Singapura, Hong Kong dan Dubai.
Mengulas megenai mural di kilang baja tersebut, Acit berkata, ia bukan sekadar lukisan tetapi membawa maksud yang tersendiri.
“Tajuk lukisan itu adalah Penggerak. Ia mempunyai unsur ‘tenaga’. Saya suka ketengahkan unsur-unsur ‘tenaga’ dalam karya-karya saya di mana saya menggunakan warna-warna yang lebih ‘pop’ dan segar.
“Ada dua elemen dalam lukisan itu iaitu di sebelah kanan elemen jentera dan di sebelah kiri elemen manusia. Ia mewakili wira-wira peneroka yang bekerja keras dalam memastikan kejayaan Felda. Dalam konteks ini, saya mengangkat warga Felda Lurah Bilut, mereka bagi saya adalah wira yang tidak didendang.
“Latar belakangnya pula mewakili gunung ganang dan Lembah Bilut yang suasananya sentiasa berkabus,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai warna-warna yang digunakan, Acit berkata, warna jingga mewakili Felda, sawit dan tanah manakala warna hijau mewakili ‘nafas’, tanaman sawit dan hutan.
Acit turut berkongsi cabaran dan kesukarannya menyiapkan mural tersebut.
Katanya, pada mulanya dia mengsasarkan 10 hari sahaja untuk menyiapkan lukisan itu namun ia ‘terlajak’ sehingga ke tiga minggu kerana hujan turun dengan kerap ketika melukis mural berkenaan.
Lagipun, ujarnya, ia adalah zink dan permukaannya pula tidak rata.
“Proses nak kering pun mengambi masa, bila hujan saja warnanya habis meleleh hingga perlu ‘touch up’ sana dan sini. Saya hanya menggunakan semburan dan cat.
“Walaupun saya biasa dengan kerja-kerja menggunakan semburan ini namun bila masuk saja penggunaan cat, masalah seperti yang saya sebutkan tadi mula timbul,” tambah Acit.
Mengenai bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan yang mahukan kerja seninya, Acit berkata, ia agak sukar untuk ditentukan kerana perlu mengambil kira faktor saiz dan perincian lukisan yang dimahukan.
Namun katanya, biasanya beliau mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM60 untuk satu kaki persegi.
Acit boleh dihubungi melalui emel [email protected] dan mereka yang berminat boleh melayari laman sesawangnya di www.abdulrashade.com. – MalaysiaGazette