Berucap pada majlis pelancaran Felda 2.0, beliau berkata, kerajaan sedia menyokong inisiatif tersebut dengan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi meneruskan transformasi di lima wilayah Felda pada tahun ini.
“InsyaAllah kerajaan akan bantu menambah peruntukan membolehkan projek ini dijalankan secara menyeluruh. Hari ini insyaAllah diluluskan RM50 juta tahun ini, buatlah, janji buat projek ini.
“Pastikan bahawa kuota Feed In Tariff ini InsyaAllah keuntungannya boleh kita beri balik kepada komuniti Felda dan ini melibatkan 80 megawatt bagi 16 rancangan untuk tahun 2018-2019 juga saya luluskan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Felda 2.0 di Lurah Bilut, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob juga meluluskan permohonan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad agar pengurusan dua sungai di Lurah Bilut dan Hutan Simpan Klah diberikan kepada peneroka di situ.
Perdana Menteri juga mengumumkan berita gembira buat komuniti itu apabila beliau bersetuju untuk menghantar 11 wakil di setiap wilayah Felda di seluruh negara untuk mengerjakan ibadah haji.
“Di bawah program Yayasan 1MDB, saya bersetuju 11 wakil wilayah Felda seluruh negara akan dijemput untuk mengikuti program khas 1MDB mulai tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.