KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang terlibatĀ dan menyokong kempen undi rosak telah melakukan satu bentuk penderhakaan kepada negara dan sistem demokrasi berparlimen.
Lantaran itu, penyokong-penyokong kempen itu diminta bermuhasabah diri kerana tindakan tersebut tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.
Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pada dasarnya tidak ada sebab mengapa rakyat Malaysia perlu terikut-ikut dengan perbuatan mensabotaj negara, sebaliknya menaruh harapan agar seluruh rakyat rasional dalam berdepan dengan isu berkenaan.
“Pihak yang melakukan kempen itu ternyata mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan nasib rakyat dan survival jangka panjang negara ini. Kenapa perlu melakukan kempen yang menafikan hak rakyat atau pengundi.
“Kalau tak nak mengundi jangan pengaruh orang lain kerana tindakan itu tidak wajar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Navaratnam berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menjadikan sejarah politik Amerika Syarikat sebagai iktibar, yang mana golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang tidak mahu mengundi dan terlibat dalam politik negara.
Tindakan golongan itu akhirnya menyaksikan kerajaan Amerika Syarikat dengan mudah dikuasai oleh golongan kapitalis.
“Tengok apa yang berlakuĀ dengan rakyat biasa Amerika Syarikat? Jurang kehidupan antara golongan itu dengan kelompok kapitalis semakin melebar. Jadi siapa yang rugi?,” katanya yang melahirkan kebimbangan dengan kempen undi rosak.
Navaratnam berkata, jika keadaan sama berlaku di Malaysia, yang akan rugi besar adalah orang Melayu kerana kaum itu merupakan penduduk majoriti, penduduk luar bandar dan rakyat yang kurang berpendidikan.
Sudah berusia 83 tahun dan tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi, Navaratnam menasihatkan semua agar tidak melakukan perkara-perkara bodoh menjelang pilihan raya umum ini.
“Tidak kira apa agama pun, kalau sabotaj negara – ia adalah perbuatan salah dan berdosa. Tidak takutkah kita untuk melakukan dosa?
“Jangan buat dosa untuk kepentingan orang lain tetapi guna hak dan keistimewaan dalam sistem demokrasi untuk kepentingan negara, diri dan generasi akan datang,” nasihatnya. – MalaysiaGazette