Home Nasional Kami tak kompromi dalam isu Vasanthapiriya – Kamalanathan

Kami tak kompromi dalam isu Vasanthapiriya – Kamalanathan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan (dua kiri), Presiden ASTI, Mohamed Yunus Mohamed Yasin (dua kiri), Pengarah Projek Young Inventors Challenge (YIC), Anandan Shanmugam (kanan) dan Pengarah Projek Pesta Sains Anak Muda (SFYC), Jaya Shri Selvendran (kiri) ketika melihat buku laporan SFYC pada sidang akhbar mengenai Pesta Sains Anak Muda dan Young Inventors Challenge (YIC) di bangunan YMCA, Brieckfields. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran tidak akan sesekali berkompromi atau bertindak menyembunyikan kesalahan mana-mana tenaga pengajar di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Seri P. Kamalanathan berkata, mana-mana tenaga pengajar yang didapati telah melanggar tata tertib dan melakukan kesalahan disiplin akan dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

Menurutnya, insiden yang menimpa mendiang pelajar tingkatan 3, M. Vasanthapriya yang meninggal dunia selepas koma kerana cubaan membunuh diri baru-baru ini dan dikaitkan kerana seorang guru yang menuduhnya mencuri telefon kini berada dalam siasatan pihak berwajib.

Jelasnya, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat tata tertib terhadap guru terbabit yang juga merupakan guru mendiang sebelum sebarang tindakan di ambil terhadapnya.

“Pada masa yang sama, pihak polis juga sedang melakukan siasatan mereka berhubung kes ini. Kami tidak akan sesekali melindungi mana-mana guru yang melanggar tata tertib yang termaktub.

“Keputusan berhubung siasatan tata tertib itu akan didedahkan dalam masa terdekat. Biar mereka mesyuarat dulu.

“Kita juga berikrar untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan siasatan polis tanpa melindungi suspek, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan perkara seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelancaran Karnival Sains Muda untuk Kanak-Kanak 2018 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sains, Teknologi dan Inovasi (ASTI) hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam dan Presiden ASTI, Dr Yunus Yasin.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana kecederaan otak.

Mendiang koma sejak 24 Januari lalu selepas menggantung diri dengan selendang selepas dituduh mencuri Iphone gurunya.

Dalam sebuah nota yang ditulis oleh Vasanthapiriya yang merupakan pelajar SMK Methodist Nibong Tebal, Pulau Pinang menafikan perbuatan tersebut sebelum cubaan membunuh diri Rabu lepas.

Sementara itu, Kamalanathan turut membuat pengumuman berhubung 2.0 Karnival Sains Kanak-Kanak Muda (Science Fair for Young Children) anjuran ASTI untuk tahun ini.

Karnival Sains itu yang telah memberi manfaat kepada hampir 50,000 pelajar sekolah Tamil seluruh negara sejak penganjurannya 11 tahun lalu pada 2007 kembali yang turut mendapat kerjasama daripada kerajaan serta agensi berkaitan.

Setiap sekolah Tamil di Malaysia digalakkan untuk menghantar penyertaan sebelum 15 Mac depan, selain itu, ASTI juga akan menganjurkan Young Inventors Challengge (YIC) 2018 namun ianya terbuka kepada semua pihak dan tarikh tutup sebelum28 Februari ini.- MalaysiaGazette