Home Politik Pas Selangor tak tolak tawar Khalid sebagai calon MB

Pas Selangor tak tolak tawar Khalid sebagai calon MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pas Selangor tidak menolak untuk meletak Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon Menteri Besar mereka dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Reaksi ceria bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika sidang media pada Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

Kesediaan itu dinyatakan sendiri oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi yang berkata sedia memberi laluan kepada Khalid untuk bertanding tanpa syarat dan perbincangan kini sedang berjalan.

“Kita beri tawaran itu pertama sekali kerana kita ada sejarah antara dia dan Pas sebelum ini, malah cara urus tadbir yang dia tunjukkan sepanjang jadi menteri besar sangat baik. Saya rasa rakyat Selangor sendiri pun ada satu keserasian dengan cara dia mengurus yang telus berintegriti.

“Sebelum ini pun, Pas antara yang mencadangkan Khalid sebagai menteri besar sebelum timbul pelbagai isu yang yang melanda dirinya, itu pun telah dibuktikan tidak bersalah di mahkamah. Sebab itu saya fikir Tan Sri Khalid ini sangat dekat di hati rakyat Selangor,” beliau dipetik berkata.

Khalid merupakan bekas Menteri Besar Selangor selama sepenggal setengah sebelum disingkirkan partinya sendiri, PKR daripada jawatan tersebut sehingga mencetuskan kemelut politik di negeri tersebut.

Pada awal kemelut, Pas Selangor masih memberikan sokongan kepada Khalid sehinggakan Exco dari parti Pas tidak meletak jawatan untuk kekal dibawah pentadbiran Khalid sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati PKR.

Dalam pada itu, Exco Pas Selangor, Zaidy Abdul Talib yang mengulas lanjut berhubung tawaran tersebut berkata, perkara tersebut baharu diperingkat cadangan dan belum ada keputusan muktamad yang dibuat lagi.

“Masih belum diputuskan. Itu hanya pandangan dan kita terima banyak pandangan. Jadi kita belum membuat keputusan.

“Sudah pasti yang boleh membuat keputusan diperingkat negeri adalah Badan Perhubungan Pas Selangor itu sendiri dan akan diangkat kepada Pas Pusat, barulah boleh dimuktamadkan,” beliau dipetik berkata. – MalaysiaGazette