Home Nasional Pegawai UEM Sunrise antara 7 individu ditahan SPRM

Pegawai UEM Sunrise antara 7 individu ditahan SPRM

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Timbalan Pengurus Besar dan Pengarah Projek Selatan 1 UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) bagi siasatan kes rasuah.

Kedua-dua individu itu disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor untuk melayakkan mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan bagi kerja-kerja penyelenggaraan landskap UEM Sunrise.

Timbalan pengurus besar berusia 44 tahun dan Pengarah Projek Selatan 1 yang berusia 55 tahun itu ditahan antara pukul 3 dan 4 petang di Ibupejabat SPRM Negeri Johor.

Turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, seorang wanita yang merupakan pembantu peribadi kepada timbalan pengurus besar yang berusia 34 tahun di lokasi sama.

Hasil siasatan awal SPRM mendapati, timbalan pengurus besar dan Pengarah Projek Selatan 1 tersebut secara langsung akan memastikan kontrak landskap bawah seliaan mereka dianugerahkan kepada lapan buah syarikat melalui tiga peringkat iaitu E-Bidding, One Off Contract dan Maintainance yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

Turut difahamkan, timbalan pengurus besar tersebut akan mengarahkan Eksekutif UEM Sunrise untuk memberi markah sebanyak 80 peratus kepada syarikat kontraktor yang bertanggungjawab atas kerja-kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan.

Manakala Pengarah Projek Selatan 1 yang mempunyai bidang kuasa untuk melantik kontraktor, pembekal dan jururunding selain meluluskan pembayaran juga akan meluluskan tuntutan yang dikemukakan oleh kontraktor-kontrator berkenaan supaya mereka menerima bayaran penuh seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

Menerusi maklumat awal yang diperolehi oleh pasukan penyiasat, didapati terdapat bayaran yang mencurigakan berjumlah melebihi RM2.4 juta telah dimasukkan ke akaun bank milik timbalan pengurus syarikat dan isterinya daripada lapan buah syarikat kontraktor berkenaan melalui empat orang proksi.

Selain itu, pasukan penyiasat juga telah menahan menahan empat orang proksi terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan yang berlaku antara tahun 2013 dan 2017.

Keempat-empat proksi tersebut masing-masing ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di Ibu Pejabat SPRM, Shah Alam, Klang dan Melaka.

Pasukan penyiasat juga telah menyita 15 akaun milik Timbalan Pengurus Besar tersebut dan syarikat kontraktor bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki telah mengesahkan tangkapan ketujuh-tujuh individu itu sambil menegaskan pasukan penyiasat telah pergi ke beberapa lokasi termasuk syarikat kontraktor untuk mengambil dokumen-dokumen berkenaan dengan siasatan kes tersebut.

“Kita akan meneliti kesemua dokumen yang dirampas untuk mengenalpasti sama ada wujudnya elemen rasuah dan salah guna kuasa,” katanya hari ini.

Kesemua suspek itu dijangka akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette