SEGAMAT – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai bertindak ganas menghempas dan memijak dua anaknya lima dan lapan tahun di kediaman mereka dekat Segamat Baru.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi Isnin, lelaki 31 tahun itu pada mulanya mengangkat sebelum menghempas anak perempuannya yang berusia lapan tahun ke lantai simen, menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat.
Tambah beliau lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba marah dan bertindak memukul anak perempuannya sebelum turut memijak anak lelakinya yang berusia lima tahun.
“Isterinya yang berusia 30-an yang turut berada di lokasi kejadian dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang turut menjadi mangsa suaminya,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambab Raub, suspek yang melihat anaknya menangis kesakitan, kemudian menghantar kedua-dua anaknya mendapat rawatan di Hospital Segamat.
Kemudian pihak hospital yang merawat mangsa curiga apabila melihat kesan kecederaan pada kepala anak perempuan lelaki terbabit, dan membuat aduan kepada polis.
Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu, ditahan di bandar ini, kira-kira jam 11 pagi tadi untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis memandang serius kes ini yang dianggap melakukan penderaan fizikal serta mental terhadap kedua kanak-kanak yang tidak berdosa itu. Kita masih menunggu laporan penuh perubatan kedua-dua mangsa,” katanya.
Suspek akan ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-MalaysiaGazette