Home Politik Gelaran badut diberi PAN kepada Azmin kesat, kasar

Gelaran badut diberi PAN kepada Azmin kesat, kasar

Sallehin Mukhyi
Sallehin Mukhyi

SHAH ALAM- Kata-kata Parti Amanah Negara (PAN) Selangor yang dilontarkan terhadap Menteri Besar Selangor kesat dan kasar, kata Pas Selangor.

Pesuruhjaya Pas negeri itu, Sallehin Mukhyi berkata demikian bagi mengulas gelaran ‘badut’ yang diberikan Pengerusi PAN Selangor Izham Hashim kepada kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

“Perkataan yang digunakan kempen PAN kepada Azmin jauh lebih kasar, kita tidak lalu untuk menggunakan gelaran itu. Biarlah mereka perbaiki walaupun semua itu kita sudah jangkakan berlaku,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pas Selangor di Shah Alam.

Beliau turut menyifatkan ketegangan kedua-dua pihak yang berpunca daripada isu rundingan kerusi di negeri itu sebagai bukti Pas tidak bersalah dalam perpecahan Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Dulu orang kata yang jadi punca perbalahan Pakatan Rakyat ialah Pas tapi Pas sekarang tiada Pakatan Harapan masih bergolak,” tambahnya.

Terdahulu Azmin mendakwa PAN berbohong kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Selangor belum dibentuk sedangkan menurut Timbalan Presiden PKR itu ia telah bermesyuarat sebanyak empat kali.

Pertikaian mengenai mesyuarat ini timbul selepas Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Majlis Presiden parti itu akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menamatkan kebuntuan perbezaan pandangan oleh DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – MalaysiaGazette