SANTIAGO – Juruterbang jet pejuang wanita Chile, Margot Duhalde yang popular di seluruh dunia kerana kemahirannya mengendalikan pesawat jet pejuang ketika Perang Dunia Kedua satu ketika dahulu meninggal dunia kerana sakit tua hari ini.
BBC melaporkan, Duhalde ketika mengembuskan nafas terakhirnya, beliau berusia 97 tahun.
Kementerian Hal Ehwal Wanita Chile, dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, pemergian mendiang Duhalde sebenarnya satu kehilangan besar buat negara ini.
Wanita itu yang mula melibatkan diri dalam dunia penerbangan sejak berusia 16 tahun itu berjaya memecahkan diskriminasi dengan bertindak berani menyahut seruan Presiden Perancis, Charles de Gaulle untuk menyertai perang untuk melawan tentera Nazi ketika itu.
Duhalde yang dilahirkan di Rio Bueno, selatan Chile di sebuah perkampungan pedalaman muncul bukan sahaja muncul sebagai wanita pertama yang mampu menjadi juruterbang malah memecahkan tradisi apabila terpilih menyertai Pasukan Bebas Perancis di bawah kerajaan dalam buangan pimpinan de Gaulle.
Pada awal penyertaan beliau, Duhalde mendapat tentangan kedua ibu bapanya kerana belum ada wanita yang memandu kapal terbang atau jet apatah lagi menyertai peperangan.
Bagaimanapun, Duhalde berjaya meyakinkan mereka dan menyertai pasukan itu pada usia muda sebelum berjaya ditauliahkan sebagai juruterbang pada usia 20 tahun.
Beliau kemudian menyertai Pasukan Tentera Udara Britain untuk menentang kerajaan Nazi ketika itu.
Ketika temuramah beliau dengan stesen tv tempatan di Chile tahun lalu, beliau secara lantang berkata, golongan wanita mampu berbuat apa sahaja dan setaraf dengan lelaki dalam pelbagai perkara.
“Dulu, golongan lelaki selalu memandang rendah terhadap wanita terutamanya ketika zaman saya dulu. Pada mereka, hanya mereka sahaja boleh melakukan semua itu.
“Namun kemudian mereka sedar kita juga melakukan perkara luar biasa,” ujarnya.-MalaysiaGazette