Home Utama Kerajaan tak keluar belanja untuk Projek PPA1M Bukit Jalil

Kerajaan tak keluar belanja untuk Projek PPA1M Bukit Jalil

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga kanan) bergambar kenangan dihadapan blok utama pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan terhadap pembinaan Projek Perumahan Awam (PPA1M) di Bukit Jalil.

Ini kerana projek perumahan itu telah dibangunkan di atas sebidang tanah di lokasi yang sangat strategik serta pemaju dibenarkan untuk membina perumahan pada harga mengikut pasaran semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Satu yang menarik ia tidak mengenakan perbelanjaan kerajaan kerana ia dilaksanakan di bawah konsep cross subsidy dimana projek ini dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus keluasan dibangunkan dengan perumahan PPA1M yang di kawal oleh kerajaan dari segi harga, keluasan dan juga kualiti.

“Manakala 40 peratus lagi iaitu dengan keluasan 5.11 ekar dibenarkan kepada pemaju untuk membina perumahan pada harga mengikut pasaran semasa,” katanya ketika berucap pada Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di sini hari ini.

Najib berkata, menerusi konsep tersebut ia telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memenuhi agenda perumahan negara.

Justeru beliau sangat berharap agar projek seperti itu akan dapat diteruskan pada masa hadapan kerana kerajaan mempunyai agenda besar.

“Mudah-mudahan jika kita menang besar nanti kita akan dapat teruskan lagi dan jayakan sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam ucapannya Najib memberitahu, kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 200,000 unit kediaman PPA1M untuk penjawat di seluruh negara.

Malah, kata beliau, kerajaan telah menetapkan semua harga rumah mampu milik ditawarkan lebih rendah pada harga pasaran.

Katanya, sehingga kini kerajaan telah meluluskan sejumlah 135,456 unit PPA1M yang terdiri daripada 433 projek di selruh Malaysia.

Hari ini seramai 1,536 penjawat awam yang membeli rumah menerusi projek PPA1M menerima kunci masing-masing yang disampaikan oleh perdana menteri.

Projek yang dimulakan pada 8 April 2015 itu sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya oleh pemaju pada Mei 2019 namun prestasi cemerlang oleh pemaju iaitu Tetuan Aset Kayamas Sdn. Bhd. projek tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh setahun lima bulan.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa. – MalaysiaGazette