PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang menimbang untuk mengurangkan kadar levi kenderaan perdagangan di laluan LINKEDUA bagi mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diharapkan dapat menarik kenderaan perdagangan untuk menggunakan LINKEDUA berbanding Tambak Johor yang dikenalpasti menjadi salah satu punca kesesakan di pintu sempadan Malaysia-Singapura.
“Terkini kerajaan bercadang untuk mengurangkan kadar levi kenderaan perdagangan yang melalui LINKEDUA.
“Bagi kenderaan perdagangan di laluan Tambak Johor, kadar levi dikekalkan. Langkah ini bertujuan untuk menarik lebih banyak kenderaan perdagangan untuk menggunakan LINKEDUA dan seterusnya menyuraikan kesesakan trafik di Tambak Johor,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor di pejabatnya hari ini.
Dengan langkah tersebut, Ahmad Zahid menjangka ia dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdagangan di Tambak Johor.
Selain itu, menurutnya, infrastruktur di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan ditambahbaik sebagai persediaan kepada pertambahan kenderaan perdagangan apabila kadar levi tersebut dikurangkan nanti.
“Pada masa sama, kerajaan juga terus memastikan keperluan infrastruktur di Komplek Sultan Abu Bakar (KSAB) akan ditambah baik selaras dengan jangkaan pertambahan trafik kenderaan perdagangan di LINKEDUA khususnya dari segi keperluan mesin pengimbas barangan, kargo dan juga laluan tambahan bagi pemeriksaan kastam ke atas kenderaan perdagangan,” ujarnya.
Mesyuarat hari ini merupakan lanjutan daripada hasil keputusan dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 pada 16 Januari lalu.
Pintu masuk darat Malaysia-Singapura merupakan pintu utama dengan rekod pergerakan individu keluar masuk mencatat 101,690,828 orang dari tahun 2015 hingga tahun 2017 dengan kadar purata harian adalah sebanyak 278,374 orang.
“Jumlah pergerakan yang tinggi ini menggambarkan tahap kesibukan di sempadan darat Malaysia-Singapura serta mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Kerajaan juga akan mengadakan rundingan dengan Singapura bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung beberapa cadangan lain bagi mengurangkan kesesakan di kedua-dua belah pintu masuk sempadang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette