Home Utama Kebakaran kenderaan JPJ ada kaitan sindiket klon kereta?

Kebakaran kenderaan JPJ ada kaitan sindiket klon kereta?

PULAU PINANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan kebakaran yang memusnahkan lima kenderaan termasuk tiga daripadanya milik agensi itu di Stesen Penguatkuasaan Kuala Kangsar, Perak awal pagi semalam ada kaitan dengan sindiket kereta klon.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, dua buah kereta jenis Volvo yang turut musnah dalam kejadian itu merupakan kereta klon yang disita pada 18 Disember dan 30 Januari lalu.

Menurut beliau, kedua-dua buah kenderaan itu disimpan di stesen berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut termasuk siasatan pihak polis.

Ujar beliau, laporan awal polis juga menunjukkan terdapat kesan ceroboh pada pagar di bahagian tepi jalan kawasan berkenaan.

“Kes ini sedang disiasat dengan mendalam dan kita juga telah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen itu kepada polis selain beberapa maklumat lain yang dapat membantu siasatan,” katanya selepas menjalankan Op Tanjung di Valdor dekat Sungai Bakap, di sini hari ini.

Dalam kejadian di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kuala Kangsar, Perak kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger hangus terbakar 90 peratus manakala dua kereta klon itu terbakar 70 peratus dipercayai angkara perbuatan khianat.

Sementara itu, Wan Ahmad Uzir menambah, pihaknya telah menubuhkan unit keselamatan di peringkat ibu pejabat baru-baru ini dan akan diperluas di setiap negeri dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan agensi penguatkuasa itu terutama di kawasan premis mereka.- MalaysiaGazette