PUTRAJAYA – Semua pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) telah berpindah lokasi ke Menara Putrajaya Holdings (PjH) di Presint 2, Putrajaya bermula hari ini.
Sebelum ini, selama hampir 30 tahun lamanya, kesemua pejabat berkaitan PBB di Malaysia berada di lokasi di Damansara Heights, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian pejabat baharu itu telah disempurnakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini di Putrajaya hari ini.
Anifah Aman ketika berucap berikrar dengan komiten Malaysia untuk terus bekerjasama bersama PBB di semua peringkat bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dalam segala aspek, dengan mengambil kira kepentingan negara.
Jelas beliau, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam usaha mencegah konflik dan mengekalkan keamanan semasa keanggotaan tidak tetapnya di Majlis Keselamatan PBB pada 1965, 1989 hingga 1990, 1999 hingga 2000 dan 2015 hingga 2016.
“Sejak kita menyertai PBB pada September 1957, Malaysia bergiat aktif dalam mempromosikan tiga asas prinsip PBB iaitu iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia serta pembangunan.
“Kita akan terus komited dan terus menjalinkan kerjasama dalam semua peringkat dan sudah tentu melaui proses ini juga segala kepentingan negara terjaga. Semua jenis kerja-kerja dan inisiatif yang dilakukan oleh badan ini akan mendapatkan sokongan kita selari dengan hasrat negara,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 8 Disember tahun lalu, Malaysia telah membentangkan Resolusi Kesederhanaan pada Mesyuarat Plenari Perhimpunan Agung PBB ke-68 di New York, Amerika Syarikat (AS).
Idea yang di ilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan merapatkan perbezaan serta menyelesaikan pertikaian selain melawan ekstremisme dan radikalisasi juga telah telah meraih 135 undi.
“PBB telah memutuskan untuk mengumumkan tahun 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan Antarabangsa dalam usaha untuk mempertingkatkan suara kesederhanaan melalui promosi dialog, toleransi, pemahaman dan kerjasama,”ujarnya.
Dalam pada itu, Anifah juga teruja dengan perpindahan pejabat PBB ke Putrajaya yang sudah menjadi pusat pentadbiran kerajaan sejak tahun 1999 dan melihat proses itu tepat dan kena pada waktunya.
“Kita selalu menjemput badan-badan dunia seperti ini untuk beroperasi di Putrajaya bagi melicinkan lagi perjalanan kerjasama yang telah kita jalinkan selama ini. Perpindahan ini sangat tepat pada masanya,” ujar beliau.
Pejabat tersebut antaranya menempatkan Penyelaras Residen PBB (RCO), Program Pembangunan PBB (UNDP), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi PBB (UNFPA).- MalaysiaGazette