KUALA LUMPUR – Pengubalan undang-undang bagi memperkenalkan suatu akta mencegah penyebaran berita palsu bukan hanya memanfaatkan ahli politik tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, kaedah dan undang-undang untuk menyekat berita palsu itu juga tidak berniat menganiayai pembangkang seperti yang didakwa pengerusi Pakatan harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kata Salleh, dakwaan itu tidak benar dan tidak ada bukti ia lebih memanfaatkan ahli politik dari Barisan Nasional sahaja sebaliknya pembangkang pun akan dilindungi daripada menjadi mangsa berita palsu.
“Kalau kita lihat berita palsu ini bukan sahaja melibatkan ahli politik sahaja, artis, selebriti serta orang biasa pun menjadi mangsa juga.
“Tidak wajar dakwaan pembangkang, kita hendak menentukan apa apa yang berkaitan dengan keselamatan negara boleh menjejaskan hubungan kaum hasil daripada penularan berita palsu ini maka tindakan undang-undang harus dikuatkuasakan.
“Fungsi akta berkenaan tidak lebih daripada itu, ia tida ada kena mengena dengan politik seperti yang didakwa pembangkang, mereka juga akan bermanfaat jika mereka juga menjadi mangsa berita palsu atau berita mereka dipalsukan pihak tertentu,” katanya semasa melancarkan Laporan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kebudayaan dan Kreatif 2018′ di Listing Gallery, Bursa Malaysia hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd. Salehuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Hatan.
Ditanya sama ada terdapat peluang akta berkenaan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Salleh berkata; “Saya tidak tahu mengenai tempoh masanya.”
“Ini bukan disebabkan politik kita hendak menekan sesiapa, ini berkaitan berita palsu yang menjejaskan rakyat.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu akan meneliti dan membincangkan semua perkara berbangkit berkaitan akta meyekat berita palsu ini.
“Namun setakat ini apa yang pasti kita belum membincangkan mengenai akta ini di mesyuarat kabinet. Tunggu Azalina menguruskannya,” tegasnya.
Sebelum ini, Mahathir menyelar cadangan akta menyekat berita palsu yang mahu diperkenalkan kerajaan pemerintah tidak sepatutnya digunakan untuk menyekat berita mengkritik terutama skandal kewangan terbesar negara. – MalaysiaGazette