PUTRAJAYA – Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini pada 13 Julai depan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah memberitahu, penerbangan itu juga buat pertama kalinya akan beroperasi dari Kompleks TH di Sepang, Selangor.
Beliau berkata, kompleks baharu yang mempunyai 330 bilik dan pusat konvensyen berkapasiti sehingga 1,500 orang dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini bagi menggantikan kompleks sedia ada di Kelana Jaya.
“Kita menyasarkan kompleks dan hotel itu akan dibukan pada Mei ini sekali gus menjadi pusat pelepasan sebelum terbang menunaikan haji.
“Kompleks ini juga akan dibuka kepada orang awam sebagai hotel penginapan bertaraf empat bintang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman hibah TH 2017 di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.
Sementara itu, Komplek TH baharu yang menampilkan ciri-ciri seni bina Islam moden terletak bersebelahan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA atau kira-kira lima kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudahan yang terletak di atas tapak seluas 15.73 ekar itu akan dilengkapi dengan galeri haji, hotel sembilan tingkat, dewan serbaguna, pejabat pentadbiran, pusat konvensyen dan seminar, pusat sukan dan cawangan Bank Islam. – MalaysiaGazette