Home Politik PH tak perlu desak RoS buat kerja – Pekira

PH tak perlu desak RoS buat kerja – Pekira

Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuat desakan terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendapatkan kelulusan berhubung status pendaftarannya.

Sebaliknya, PH perlu menghormati prosedur jabatan berkenaan yang ada proses tertentu, kata Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah.

Mengambil contoh parti yang diterajuinya itu, Mohd. Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) berkata, sehingga hari ini beliau masih sabar menunggu kelulusan RoS yang masih belum meluluskan Pekira.

“Dizaman Tun M (Dr. Mahathir Mohamad) dulu kalau hendak mendapatkan kelulusan jangan haraplah, lagi susah berbanding sekarang.

“Paling tidak pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ada dalam Pakatan Harapan sudah diluluskan oleh RoS,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Katanya, Mahathir seharusnya bersyukur kerana parti bimbingannya iaitu PPBM telah diluluskan dan menjadi sebuah parti politik berdaftar.

“Kalau nak diikutkan Pekira ini pro kerajaan dan Barisan Nasional tapi kami belum lagi diluluskan tetapi RoS pula telah meluluskan PPBM yang merupakan parti politik pembangkang dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun masih belum mendapat kelulusan, Pekira tetap membantu kerajaan dalam meneruskan agenda negara untuk kebajikan rakyat.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri sendiri memaklumkan proses yang diambil oleh RoS adalah profesional dan bukan menyebelahi mana-mana pihak. – MalaysiaGazette