Home Kembara Sungai ‘Ayaq Biru’ umpama lautan di Kepulauan Maldives

Sungai ‘Ayaq Biru’ umpama lautan di Kepulauan Maldives

ALOR SETAR, 7 Feb -- Sungai 'Ayaq Biru' yang dikenali oleh penduduk setempat kini menjadi tumpuan semenjak menjadi tular di media sosial baru-baru ini.?Dengan pemandangan indah menghadap Gunung Keriang dan persekitaran sawah padi yang terbentang luas, para pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar, beriadah, mandi manda dan menyelam untuk melihat keindahan dasar Sungai Biru ini.?Sungai Biru ini berlaku disebabkan proses pemendapan sungai apabila air sungai itu bertakung dan tidak diusik oleh sumber luaran yang mencemar air, menjadikan air itu seperti kristal.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR – Bagaikan lautan biru di Kepulauan Maldives, itulah yang dapat digambarkan apabila melihat Sungai Baru dekat sini yang bertukar warna menjadi biru kehijauan sehingga menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Lebih dikenali sebagai Sungai ‘Ayaq Biru’ kalangan penduduk setempat, ratusan pengunjung dari pelbagai kawasan datang silih berganti untuk menyaksikan keindahan panorama itu yang dikatakan pertama kali berlaku.

Dengan pemandangan indah menghadap Gunung Keriang dan persekitaran menyamankan dikelilingi sawah padi yang luas terbentang, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan di kawasan itu untuk tatapan dan perkongsian di laman media sosial.

Mohd Shahbani Khamis, 25, dari Kampung Kubang Rotan dekat sini berkata, kejadian air sungai bertukar biru itu mula berlaku kira-kira sebulan lalu, dipercayai kerana projek pengorekan bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dihentikan seketika.

“Pada mulanya saya memang tidak percaya, rasa mustahil, namun setelah sampai ke sini saya amat teruja melihat air sungai biru ini, selepas ini saya nak bawa anak-anak saya datang ke sini,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk setempat mengambil kesempatan mengunjungi kawasan itu menjelang petang, malah tidak kurang juga yang mandi dan melakukan aktiviti selaman bagi melihat apa sebenarnya yang berada di dasar sungai berkenaan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah Ir Baharuddin Abdullah ketika dihubungi berkata sungai berkenaan merupakan sebahagian daripada projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit yang dibina beberapa tahun sebelum ini.

“Ia berlaku disebabkan proses pemendapan sungai, apabila air sungai itu bertakung dan tidak diusik oleh sumber luaran yang mencemar air itu maka sebab itulah ia menjadi sedemikian.

“Katakan kita ambil air kelodak (bercampur tanah), dan biarkan air itu selama 24 jam, apa yang akan terjadi, sudah pasti air itu akan menjadi jernih kerana kelodak tersebut akan termendap di bahagian bawah. Jadi itulah yang berlaku pada sungai berkenaan, seperti kristal,” katanya.

Menafikan projek itu terbengkalai, Baharuddin berkata projek itu sebenarnya dihentikan sementara sementara menunggu arahan dan tindakan selanjutnya daripada pihak berkenaan berhubung beberapa perkara berkaitan teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mencerobohi tapak berkenaan yang masih diklasifikasikan sebagai kawasan pembinaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.– BERNAMA