KUALA LUMPUR – Pencalonan mana-mana individu atau pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya boleh dilakukan semata-mata untuk meredakan keadaan.
Ahli Kluster Perpaduan Nasional, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia bagi menghentikan perbalahan yang wujud dalam kalangan parti komponen BN mengenai soal menjadi calon.
“Apakah jentera parti lain bersedia untuk membantu calon ini (NGO/ luar), melainkan di sesuatu kawasan dikenal pasti itu wujud perbalahan besar untuk menjadi calon.
“Perbalahan itu wujud di antara dua, tiga parti komponen berebut kerusi, mungkin boleh diletakkan seorang calon seperti ini (NGO/luar) untuk meredakan keadaan, khususnya untuk mengelak daripada berlaku sabotaj,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau mengulas hasrat beberapa pemimpin NGO seperti Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao yang menawarkan diri untuk menjadi calon BN di kerusi N54 DUN Hutan Melintang, Perak pada PRU14.
Selain itu, Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah juga bersedia menjadi calon BN sekiranya Datuk Seri Najib Razak memberi peluang itu, memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih tidak meluluskan pendaftaran parti yang diasaskannya itu.
Sivamurugan selaku Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, formula calon luar BN itu boleh digunakan sekiranya tidak menjejaskan persiapan parti dan mengundang unsur sabotaj.
“Sebelum keputusan dibuat, ia harus mengambil kira sejauhmanakah dalam memenangi sesuatu kawasan, ianya tidak menjejaskan persiapan parti atau mendatangkan sabotaj.
“Penerimaan calon luar ini juga perlu dianggap sebagai calon langsung BN, bermakna dia akan menggunakan simbol BN tanpa ada sekatan daripada mana-mana parti komponen sebelum ini.
“Tapi pengambilan seperti ini sudah pasti memerlukan nilai kompromi dan pengorbanan yang cukup besar daripada parti-parti komponen,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, tidak mungkin calon luar mampu membantu BN meningkatkan peratusan jumlah majoriti undi khususnya kerusi marginal atau kerusi bahaya.
Tambah beliau, faktor kemenangan juga ditentukan oleh kerjasama jentera parti di sesuatu kawasan meskipun calon BN sebelum ini tewas dua penggal sejak 2008.
“Kita bukan sekadar melihat NGO, kita juga melihat sahabat-sahabat BN, misalnya ada parti-parti di luar masih belum menjadi anggota BN, tetapi mesra kepada BN seperti mana NGO. Apakah mereka akan mula meminta kerusi?
“Apa yang berlaku di Sarawak antara SUPP dengan UDP, apabila wujud perbalahan di situ, Tan Sri Adenan Satem memilih untuk meletakkan calon langsung BN di mana calon ini dilihat boleh membantu memenangi kawasan tersebut.
“Saya lihat sepanjang lima tahun ini, mungkin ada yang merasakan mereka itu calon walaupun tak turun padang, tiba-tiba wujud payung terjun daripada calon bukan kerajaan, tiba-tiba dipilih menjadi calon,” ulasnya.
Tambahnya, calon luar hanya boleh ‘import’ sekiranya wujud kebarangkalian boleh menang besar daripada nilai sabotaj dalaman, ketika itu boleh dipilih calon tersebut.
“Jika kebarangkalian sabotaj dalaman lebih tinggi daripada pemilihan calon luar, maka itu perlu dielak, sebab dalam sesuatu kawasan, kadang-kala 30 hingga 35 peratus pengundi adalah penyokong tegar parti.
“Perdana Menteri merasakan ia adalah formula yang sedang difikirkan, ia boleh berkesan jika dilihat ancaman ini (sabotaj dalaman) dapat diredakan, maka calon itu (NGO) boleh ditampil atau diketengahkan,” katanya. – MalaysiaGazette