Home Utama Malaysia mampu urus transformasi bandar

Malaysia mampu urus transformasi bandar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Perasmian Forum Bandar Sedunia ke 9 (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 FEBRUARI 2018.
KUALA LUMPUR – Kadar pertumbuhan penduduk bandar di Malaysia kini melebihi 75 peratus dan dijangka terus meningkat kepada 85 peratus menjelang tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan asas ekonomi kukuh, Malaysia dijangka mampu menguruskan transformasi bandar yang begitu besar.

“Hakikatnya, asas-asas ekonomi kita adalah kukuh dan Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 2010 telah menyampaikan 2.26 juta pekerjaan, lebih dari 1 juta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Inflasi dan pengangguran semakin rendah. Kami telah menurunkan defisit dari 6.7 peratus pada 2009 kepada tiga peratus tahun lepas.

“Terima kasih kepada langkah-langkah kuat dan proaktif, kami pulih dengan cepat daripada krisis global pada 2008 hingga 2009 dan sejak beberapa tahun lalu ia bertumbuh dengan sihat,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Perbandaran Sedunia ke-9 (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Menteri Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), Datuk Maimunah Mohd Sharif ketika Majlis Perasmian Forum Bandar Sedunia ke 9 (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 FEBRUARI 2018

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat baharu, Datuk Maimunah Shariff.

WUF9 yang berlangsung pada 7 hingga 13 Februari ini dan Malaysia selaku tuan rumah dijangka dihadiri oleh 193 delegasi dari seluruh negara dengan jumlah penyertaan lebih 25,000 peserta.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar pertumbuhan penduduk di negara ini sejajar dengan penekanan dalam Agenda Perbandaran Baharu yang diterima pakai di Quito pada tahun 2016 di mana penduduk dunia dijangka bertambah sekali ganda pada tahun 2050.

“Pertumbuhan ini akan tertumpu terutamanya di Asia dan Afrika, dengan Asia dijangka mempunyai lebih daripada separuh daripada bandar mega dunia.

“Pengalaman kami di Malaysia mencerminkan trend tersebut kerana kami mempunyai kadar urbanisasi di bawah 30 peratus pada 1970-an, tetapi hari ini angka itu sudah melebihi 75 peratus,” katanya.

Malaysia juga, katanya, berada di landasan betul ke arah negara maju dengan menyasarkan ekonomi berpendapatan tinggi dan menjadi salah satu daripada 20 negara terkemuka dunia menjelang tempoh yang sama.

“Bank Dunia melaporkan bahawa ekonomi Malaysia sedang berjalan dalam kedudukan yang kuat, meletakkan kita di tempat terbaik ketika merumuskan inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Katanya lagi, Kuala Lumpur adalah bandaraya yang paling banyak dikunjungi di dunia pada tahun lepas dan menduduki tempat keenam terbaik di dunia dalam senarai persaraan.

“George Town di tempat ke sepuluh dan kita mesti memastikan rakyat Malaysia yang tinggal di bandar-bandar menikmati kualiti kehidupan yang mampan untuk generasi akan datang.

“Sebab itu, kami telah melabur dalam pengangkutan awam, seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang dan Sistem Transit Rapid yang telah dipersetujui Perdana Menteri Singapura dan saya, menghubungkan Johor Bharu dan Singapura,” katanya lagi. – MalaysiaGazette