Home Nasional MAS diarah tangani masalah tempat duduk A350

MAS diarah tangani masalah tempat duduk A350

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai diiringi Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kanan) dan Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa (kiri) melawat ruang legar pada Majlis Perasmian Fasa 2 Mitsui Outlet di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2018

SEPANG – Malaysia Airlines Bhd. (MAS) diarahkan menyelesaikan masalah susun atur tempat duduk dalam pesawat baharu Airbus, A350-900XWB.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau sudah mengarahkan syarikat penerbangan itu meneliti aduan penumpang yang tidak puas hati dengan kualiti perkhidmatan dalam pesawat tersebut.

“Benar kita menerima aduan dan pendangan itu daripada penumpang pesawat Airbus A350. Kita akan berbincang dengan pihak yang bertanggungawab untuk memperbaiki kelemahan itu.

“Daripada aduan itu mendapati kemudahan tandas di kelas perniagaan didakwa tidak mencukupi dan ada juga permintaan untuk menambah kemudahan tempat duduk dalam pesawat baharu itu.

“Saya sudah mengarahkan MAS mengendalikan segala aduan penumpang itu supaya keselesaan mereka sentisa terjamin,” katanya selepas merasmikan pembukaan fasa dua pusat membeli belah Mitsui Outlet Park, hari ini.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diberikan untuk menyelesai masalah itu, Tiong Lai berkata, terpulang kepada MAS untuk menanganinya termasuk melakukan siasatan dalaman berhubung aduan tersebut.

“Ia bukan hanya melibatkan satu pesawat ini sahaja kerana kita ada beberapa lagi pesawat A350 baharu yag sudah ditempah dan dibeli.

“Saya nampak masalah ini tidak hadir daripada kelas ekonomi yang lebih standard cuma melibatkan kelas perniagaan sahaja.

“Penambahbaikan berkenaan juga akan melibatkan pesawat lain untuk mengelak rungutan sama berulang daripada penumpang pesawat baharu itu,” katanya.- MalaysiaGazette