Home Ekonomi FGV tamatkan usahasama untuk buat Vitamin E

FGV tamatkan usahasama untuk buat Vitamin E

FGV

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menamatkan usahasama yang telah terjalin selama lima tahun dengan Lipid Venture Sdn. Bhd. untuk membina dan mengendalikan sebuah kilang menghasilkan tocotrienol (vitamin E) daripada minyak sawit yang telah disuling dan diluntur.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, FGV berkata, kedua-dua syarikat telah bersetuju untuk menamatkan usahasama tersebut.

Syarikat peladangan terbesar negara itu bagaimanapun tidak memberikan alasan terhadap tindakan tersebut.

Pada 13 November 2013, FGV melalui anak syarikat milik penuhnya, Felda Global Ventures Downstream Sdn. Bhd. (FGVD) memeterai perjanjian untuk menubuhkan usahasama dengan Lipid Venture.

Kilang berkenaan sepatutnya dibina di Kuantan, Pahang.

Menurut FGV, syarikat usahasama berkenaan akan dibiayai oleh dana luaran dan geran Unit Prestasi dan Pengurusan Penyampaian di bawah projek entry point 8.

“Penamatan JV dan perjanjian pemegang saham ini tidak mempunyai sebarang kesan terhadap kewangan FGV dan anak-anak syarikatnya. – MalaysiaGazette