KUALA LUMPUR – Sebuah firma telah dilantik bagi membantu Jawatankuasa Siasatan Lembaga Felda melakukan semakan perundangan bagi meneliti individu yang terlibat dengan transaksi pemindahan milik tanah di Jalan Semarak.
Bagaimanapun, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad enggan mendedahkan firma yang terlibat membantu jawatankuasa yang baharu ditubuhkan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Menurut Shahrir, semakan perundangan itu akan melibatkan beberapa ahli Lembaga FELDA dan Lembaga FELDA Invesment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) secara kolektif pada tahun 2014.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din.
“Tempoh siasatan ini dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan bermula malam ini. Selepas siasatan, jawatankuasa akan melapor balik kepada FELDA sebelum tindakan seterusnya.
“Hanya selepas mengambil kira laporan akhir daripada jawatankuasa, FELDA akan menentukan apakah bentuk tindakan tatatertib dan perundangan yang akan diambil terhadap induvidu yang menyebabkan kecuaian dalam isu transaksi pemindahan tanah,” katanya pada sidang media pengumuman hasil audit forensik tanah Jalan Semarak di Menara FELDA di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Shahrir menambah, tindakan pemecatan dan pemotongan gaji adalah antara tatatertib akan diambil terhadap mana-mana kakitangan terlibat.
“Tindakan sivil juga boleh diambil terhadap pegawai FELDA dan FIC yang sudah bersara tetapi menyandang jawatan tersebut pada tahun 2014,” ujarnya.
Ketika ditanya Pengerusi FIC pada tahun 2014 adalah Tan Sri Isa Samad dan apabila diasak oleh pemberita, Shahrir hanya mengesahkannya.
Sebelum itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, laporan audit forensik yang dijalankan terhadap projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menunjukkan terdapatnya ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan Felda
Jabatan Perdana Menteri melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek (KLVC) yang dibangunkan SPSB atas tanah milik FELDA.
Firma audit itu akan menjalankan audit forensik terhadap semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan dengan projek ini serta menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan FELDA ke atas FIC.
Pada 21 Disember lalu, Berita Harian melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di ibu negara yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu kini dimajukan dengan projek KLVC membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.- MalaysiaGazette