SEPANYOL – Presiden Real Madrid, Florentino Perez mahu Joachim Low menggantikan Zinedine Zidane pada akhir musim ini.
Ini kerana ada laporan di Sepanyol mendakwa peluang Galacticos untuk mempertahankan kejuaraan La Liga agak tipis kali ini apabila menduduki tempat keempat dengan perbezaan 19 mata berbanding pendahulu liga, Barcelona.
Malah Real Madrid juga tersingkir daripada saingan Copa del Rey dan pengurusnya dalam risiko pemecatan.
Zidane yang juga merupakan bekas pemain Real menjadi satu satunya pengurus yang menang Liga Juara-Juara Eropah dua tahun berturut-turut.
Namun Perez tidak akan berpuas hati dengan rekod itu memandangkan persembahan kelab semakin merosot musim ini.
Beberapa calon telah dikenalpasti Perez untuk menggantikan Zidane dengan pengurus Napoli Maurizio Sarri.
Namun akhbar Mundo Deportivo di Sepanyol melaporkan bahawa Low merupakan pilihan utama sebagai Pengurus pasukan Real Madrid menggantikan Zidane.
Perez kagum dengan bekas penolong pengurus kepada Jurgen Klinsmann itu membangunkan pasukan bola sepak Jerman dan mahu revolusi sama dilakukan bersama Los Blancos.- MalaysiaGazette