WASHINGTON / KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) melahirkan kekhuatiran terhadap kemungkinan Malaysia mengusir 11 etnik Islam Uighur ke China susulan laporan Reuters menyatakan Beijing mahu negara Asia Tenggara itu menyerahkan etnik Uighur yang melarikan diri dari Thailand.
Memetik laporan Reuters semalam, 11 etnik Uighur dari China yang meruapakan antara 20 orang yang melarikan diri dari penjara di Thailand pada tahun lalu telah ditahan di Malaysia dan Beijing sedang berbincang dengan Malaysia mengenai pengusiran mereka.
Malaysia berada di bawah ‘tekanan hebat’ China untuk menyerahkan mereka ke Beijing dan bukannya ke Thailand dan beberapa diplomat Barat cuba menghalang etnik Uighur dihantar ke China, kata sumber.
“Kami khautir dengan laporan media mengenai kemungkinan Malaysia mengusir individu-individu Uighur ke China.
“Kami menggesa pihak berkuasa China menegakkan norma hak asasi manusia antarabangsa tanpa mengira individu-individu yang telah dihantar ke China dan memastikan ketelusan, proses sewajarnya dan keselamatan serta layanan yang betul terhadap individu-individu ini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS kepada Reuters dalam e-mel.
Pemerhati Hak Asasi Manusia meminta Malaysia memastikan etnik Uighur yang ditahan tidak dipaksa dihantar pulang ke China kerana mereka akan berhadapan ‘ancaman dipenjarakan atau diseksa’.
“Pihak berkuasa Malaysia seharusnya membenarkan individu-individu ini mengakses proses yang adil untuk menentukan dakwaan pelarian mereka, bukan menghantar mereka ke China berdasarkan permintaan Beijing,” kata pengarah kumpulan hak asasi itu untuk kawasan Asia, Brad Adams dalam satu kenyataan.
Semalam, jurucakap kemenetrian Luar China, Geng Shuang berkata, beliau tidak tahu mengenai penahanan etnik Uighur di Malaysia.
Beijing mendakwa kaum minoriti Uighur merancang menyerang kaum majoriti Han di wilayah barat, Xinjiang dan bahagian lain di China.
China dituduh menyalahguna kuasa di Xinjinag, menyeksa tahanan Uighur dan mengenakan sekatan ketat terhadap agama dan budaya mereka. Sejak beberapa tahun, beratus-ratus berkemungkinan beribu-ribu, etnik Uighur terlepas daripada ditahan di Xinjiang melarikan diri ke Turki melalui Asia Tenggara.
Seraimai 20 etnik Uighur meloloskan diri dari penjara berhampiran sempadan Thailand-Malaysia pada November lalu dengan menggali lubang di dinding dan menggunakan selimut dan tangga. Lima orang daripada mereka ditangkap di Thailand pada bulan yang sama. Mereka yang berjaya melepaskan diri merupakan sebahagian daripada kumpulan yang mengandungi 200 etnik Uighur yang ditahan di Thailand pada 2014.
Anggota-anggota kumpulan itu mengenalkan diri mereka sebagai warga Turki dan meminta dihantar ke Turki namun lebih daripada 100 orang dihantar pulang secara paksa ke China pada Julai 2015, tindakan yang mencetuskan kutukan, termasuk daripada kumpulan berhaluan kanan yang khuatir mereka berhadapan dengan seksaan di China. – Reuters